PN berkata pembangkang tidak akan mengemukakan cadangan balas bagi membolehkan ahli parlimen mereka mendapat peruntukan sama seperti dinikmati pihak kerajaan.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin malah menganggap langkah mengemukakan cadangan balas tersebut sebagai "tiada faedah" kerana menjangkakan ia masih tidak akan mencapai apa yang mereka inginkan.
Bercakap kepada media di Kluang, Johor hari ini, Muhyiddin turut membayangkan usaha berunding itu tidak menunjukkan hasil selepas mendakwa ia berlanjutan sejak dua tahun lalu.
"Bagi kami, tak ada tujuan dan faedah kalau kita (PN) nak buat cadangan balas," katanya.
Bekas perdana menteri itu turut mengakui PN ada melihat kemungkinan untuk mengemukakan cadangan balas selepas tidak berpuas hati dengan draf ditawarkan kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya mereka yakin ia masih tidak akan memberi kesan seperti yang diinginkan.
"Nak berunding, (sebelum ini) lebih daripada runding... dah dua tahun.
"Kalau orang (kebuluran) nak makan, (dalam tempoh dua tahun orang itu) nak mati dah. Nasib baik kami ni masih hidup lagi, bertahan," katanya sinis.
Dakwa tak tunai janji
Dia yang juga Ahli Parlimen Pagoh kemudian menjelaskan dengan kekangan yang ada wakil-wakil rakyat PN akan berlapang dada namun tetap "berjuang" untuk rakyat.
"Tak apalah kamu (kerajaan) tak nak bagi peruntukan kepada kami... kami boleh terus berjuang untuk rakyat. Kalau rakyat susah, kita (PN) akan tolong buat apa yang kami mampu buat," katanya.
Baru-baru ini PN mengesahkan menerima draf memorandum persefahaman (MOU) mengenai peruntukan sekata untuk semua ahli parlimen pembangkang pada 6 Ogos lalu.
Mendedahkan perkara itu kepada media pada 2 Sept, Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Takiyuddin Hassan, menyifatkan draf tersebut sebagai "pelik sedikit".
Antara lain ia menyentuh ketetapan yang diperlukan daripada ahli parlimen PN untuk tidak menggunakan isu 3 R, serta mereka perlu mengisytiharkan harta masing-masing.
Beberapa hari kemudian PN secara rasmi mengumumkan mereka menolak draf tersebut. Langkah berkenaan disusuli dengan pendedahan butiran draf MOU itu kepada umum untuk dinilai oleh orang ramai.
Menurut Muhyiddin peruntukan kewangan sepatutnya diberikan secara adil kepada semua ahli parlimen dan tidak memerlukan sebarang MOU.
Bahkan dia menegaskan perkara itu malah ada dijanjikan oleh PH dalam manifesto mereka sebelum ini.
"Malang sekali dia (PH) tidak menunaikan janji tersebut, sedangkan kami tunaikan. Sewaktu kami membentuk kerajaan (selepas Langkah Sheraton) kami bagi kepada semua.
"Tak perlu mohon pun, tak ada surat pun... MOU jauh sekali, bukan CSA (perjanjian keyakinan dan perbekalan)," katanya sambil menegaskan kerajaan sekarang "belajar" daripada cara PN mentadbir negara.
Untuk rekod semakan Malaysiakini menunjukkan bahawa kerajaan PN memang menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada 32 ahli parlimen pembangkang - ketika itu PH.
Namun langkah tersebut dibuat selepas ahli parlimen terbabit mengeluarkan kenyataan bersama.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata bahawa ahli parlimen pembangkang tidak menerima satu sen pun peruntukan daripada kerajaan persekutuan.
Menurut Muhyiddin perbincangan berlangsung sudah lama dan ia berbeza daripada cara semasa dia menjadi perdana menteri apabila pengagihan peruntukan diberi tanpa perlu melalui proses tersebut.
"Kalau kamu (kerajaan) nak bagi, bagilah. Kalau tak bagi siapa yang merugikan rakyat? Kami? Merekalah (kerajaan)," katanya.