mk-logo
Berita
Perlis fatwakan GISB ajaran sesat
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 2:53 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) didapati mengandungi unsur sesat khususnya batiniah yang merupakan kesinambungan ajaran Al-Arqam.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Perlis yang berlangsung hari ini.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin itu mendapati pegangan kumpulan GISB yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh agama mereka setaraf Nabi SAW jelas menyeleweng dan sesat.

"Jawatankuasa memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi ajaran sesat khususnya batiniah.

"Ia juga adalah kesinambungan dari ajaran Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

"Pegangan kumpulan GISB yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percayai sehingga melampaui batas ke tahap seakan menyatakan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW," kata kenyataan yang dikeluarkan jawatankuasa itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali antara 19 individu yang direman selama tujuh hari.

Selain Nasiruddin, mereka yang ditahan reman termasuk isterinya, anak-anaknya, serta anak-anak bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohammad.

Mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Perlis juga turut meneliti pengoperasian aktiviti ekonomi GISB yang bercanggah dengan prinsip Islam.

Ini katanya kerana model ekonomi yang diamalkan kumpulan itu mempunyai unsur penindasan terhadap kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

"Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISB adalah dilarang.

"Jawatankuasa juga mencadangankan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli-ahli GISB yang ingin keluar dari kesesatan ini.

“Peruntukan zakat boleh digunakan membantu pemulihan mereka," katanya.

Pembiayaan zakat itu menurut jawatankuasa berkenaan merangkumi pendidikan yang betul serta pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan serta guaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS