Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MoU bertujuan iktiraf Deklarasi Setapak DAP, dakwa Pemuda PAS
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 1:48 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Menyokong kenyataan ketua pembangkang Hamzah Zainuddin, Pemuda PAS mendakwa memorandum persefahaman (MoU) untuk peruntukan ahli Parlimen pembangkang  bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Sambil menunjukkan bahawa hak keistimewaan itu termaktub dalam perlembagaan, sayap itu mendakwa MoU itu adalah “pengiktirafan terhadap Deklarasi Setapak yang diperjuangkan oleh DAP".

Deklarasi Setapak 1967 merujuk kepada "pandangan DAP bahawa dalam proses pembinaan negara, kesaksamaan kaum mesti dijadikan prinsip utama, dan atas prinsip inilah pemisahan rakyat menjadi bumiputera dan bukan bumiputera ditentang keras."

Bagi Pemuda PAS, MoU itu tidak lain tidak bukan hanya untuk memperkukuhkan kedudukan kerajaan Madani, menutup mulut Perikatan Nasional (PN) daripada bersuara terhadap kegagalan mereka mentadbir negara, serta membiarkan parti komponen mereka menyentuh hal ehwal agama Islam, bangsa Melayu dan Institusi Diraja.

Menurut Harakah, sayap itu berkata, MoU berkenaan  juga mengandungi frasa yang mengekang kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang untuk bersuara dan melakukan semak imbang terhadap segala perkara berkaitan hal ehwal rakyat dan negara.

“Hal ini kerana, MoU itu sendiri merupakan satu pencerobohan kerajaan selaku badan eksekutif terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang dan mengikat peranan mereka dalam Parlimen.

“”Syarat dalam MoU itu juga merupakan suatu bentuk pelanggaran prinsip pengasingan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan kerana cuba untuk melemahkan pembangkang dalam Parlimen,” kata Pemuda PAS.

Tambahan pula, Pemuda PAS berkata syarat yang menghalang ahli parlimen pembangkang daripada membuat kenyataan atau ucapan berkaitan 3R (kaum, royalti dan agama) adalah tidak jelas.

Tambah kenyataan itu lagi, frasa atau syarat MoU yang menyekat ahli Parlimen pembangkang dari membuat sebarang kenyataan atau ucapan berkaitan 3R (agama, bangsa dan Raja-raja) adalah tidak jelas.

Sayap itu mempersoalkan jika terdapat pihak-pihak lain yang menyentuh soal agama, bangsa dan Raja, adakah pihak pembangkang tidak dibenarkan bersuara untuk membantah tindakan mereka yang menyentuh hal ehwal agama Islam, menyentuh dan menghina perkara berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan menyentuh Institusi Diraja?

“Ini sudah jelas bahawa mereka tidak mahu pembangkang bersuara berkaitan dengan perkara 3R supaya mereka sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan kenyataan yang menyentuh agama, bangsa dan Raja sepertimana yang dibuat oleh Teresa Kok dalam isu halal dan DAP Pahang yang menghina orang Islam hilang rezeki jika PAS Pahang menutup premis judi,” katanya.

Pada 15 September lalu, Pengerusi DAP Pahang Lee Chin Chen melahirkan rasa terkejut dengan hasrat PAS negeri untuk menutup premis judi, termasuk kasino di Genting Highlands.

Dia berkata tindakan sedemikian boleh menjejaskan ekonomi, termasuk sumber pendapatan umat Islam yang bekerja di kawasan destinasi pelancongan itu.

Mengulas lanjut, Pemuda PAS mendakwa bahawa MoU itu sebenarnya menggambarkan ketidak ikhlasan kerajaan hari ini dalam memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, lantas menindas rakyat.

“Inilah dia hakikat sebenar wajah Kerajaan Madani, kerajaan Jibayah yang zalim, menzalimi pembangkang dan rakyat,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS