Seorang lelaki yang melakukan "gangguan visual" terhadap pengadu di Kuala Lumpur telah diarahkan membayar RM60,000 dan memohon maaf kepada mangsa, oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual (Tags), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Kes itu adalah satu daripada tiga yang dilaporkan kepada Tags membabitkan gangguan seksual yang melibatkan kakitangan di sektor swasta, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.
Ketiga-tiga kes itu membabitkan gangguan seksual secara fizikal, lisan dan visual di tempat kerja sektor swasta serta dalam konteks hubungan peribadi antara pengadu wanita dan responden lelaki, lapor Utusan Borneo.
Kes kedua yang dilaporkan adalah di Negeri Sembilan melibatkan gangguan fizikal, dan responden telah diarah memohon maaf kepada pengadu.
Manakala kes ketiga melibatkan gangguan lisan di Kuala Lumpur dan aduan itu telah ditolak oleh tribunal.
"Tidak semuanya kita dapat terima, ini berdasarkan fakta kes,” katanya yang dipetik oleh Utusan Borneo.
Nancy berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Advokasi Antigangguan Seksual Sempena Kembara Kasih KPWKM 2024 di Dewan Masyarakat Bekenu, Miri, semalam.
Menurut menteri itu, sejak dilancarkan pada Mac tahun ini, tribunal itu telah menyelesaikan 18 kes.
Tags diwujudkan melalui Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), yang diwartakan pada Okt 2022.
Mengikut undang-undang, responden yang gagal mematuhi award yang dibuat oleh tribunal dalam tempoh tiga puluh hari boleh didenda dua kali ganda jumlah pampasan yang diberikan, atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Pengadu boleh membuat aduan kepada Tags melalui kaunter kementerian di Putrajaya atau dengan menghubungi Talian Kasih di talian 15999.
Gangguan seksual adalah jenayah dan mangsa boleh memilih untuk melaporkan perkara itu kepada polis, dan mendapatkan keadilan melalui sistem jenayah.
Walau bagaimanapun, penyelidikan mendapati bahawa banyak jenayah seksual melibatkan pelaku yang dikenali atau mempunyai hubungan rapat dengan mangsa, yang menghalang mangsa daripada melaporkan kes itu kepada polis.
Nancy berkata dalam beberapa kes, mangsa ingin mendapatkan pampasan dan bukannya melihat pelakunya menghadapi keadilan jenayah, jadi mereka boleh memilih Tags yang menyediakan saluran alternatif yang pantas, mudah dan kos yang rendah kepada mahkamah sivil.
“Sebenarnya kalau berlaku kes seperti ini, kamu boleh bawa ke mahkamah di atas jenayah, tapi mungkin ada juga (pengadu) nak memohon supaya beri tebus rugi, jadi dia boleh pergi kedua-dua ini (termasuk Tags), terpulanglah kepada si pengadu.
“Mangsa gangguan seksual digalakkan untuk membuat aduan di kaunter Tags KPWKM Putrajaya atau menghubungi talian Kasih 15999,” katanya.