Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mosti cadang anjur pertandingan robot tempur Asean 2025
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 9:48 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bercadang untuk menganjurkan Pertandingan Robot Tempur Malaysia peringkat Asean pada tahun hadapan.

Timbalan menterinya, Mohammad Yusof Apdal, berkata cadangan tersebut mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada 2025, dan membuka peluang serta menarik perhatian negara-negara Asean terhadap bidang robotik di negara ini.

"Kami di Mosti sentiasa komited memastikan program seperti ini diberikan sokongan penuh agar inovasi dan penyertaan anak muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (Stem) dapat dipertingkatkan.

"Selain itu, kami berharap pertandingan terbuka Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lebih besar, malah diadakan secara global dengan jemputan kepada negara-negara Asean terutamanya bagi memberi peluang kepada juara tahun ini bertanding di peringkat Asean tahun depan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penutupan Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mohammad Yusof, pertandingan robotik bukan hanya menjadi platform untuk menguji kemahiran, tetapi juga mengasah kreativiti, strategi, dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 dianjurkan oleh Mosti melalui Pusat Sains Negara itu terbuka kepada golongan belia dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institut latihan perindustrian (ILP), institut kemahiran Mara, politeknik, komuniti robotik dan individu.

Pertandingan bertemakan Keep Fighting (Terus Berjuang) itu dimenangi Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT) yang mengekalkan kejuaraannya untuk dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, pelajar jurusan kejuruteraan TARUMT, Hagrid Cheah, 22, berkata pasukannya berpeluang memperluas pengetahuan mereka mengenai pembinaan robot berdaya tahan tinggi melalui pertandingan berkenaan.

"Kami melakukan kajian mengenai senjata yang dipilih dan merujuk kepada profesional robot tempur dari AS, India, dan Korea.

"Kami mempelajari robot mereka, menjadikannya sebagai rujukan, dan kemudian mencipta robot kami berdasarkan maklumat dan sumber tersebut," katanya.

Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024, yang berlangsung dari 16 hingga 19 Sept di Pusat Sains Negara itu menawarkan hadiah wang tunai dari RM500 hingga RM10,000.

Program tersebut merupakan kerjasama strategik antara Pusat Sains Negara, Mosti, dan syarikat Hibiscus Petroleum Bhd yang komited memperkukuh agenda pembangunan bakat dan inovasi di Malaysia.

Selain menyokong pengembangan teknologi tempatan, kerjasama tersebut juga mengukuhkan hubungan di antara sektor awam dan swasta dalam mencapai matlamat menjadikan negara sebagai hab inovasi serantau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS