Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas akauntan syarikat didakwa pecah amanah lebih RM1 juta
Diterbitkan:  Sep 19, 2024 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Seorang bekas akauntan sebuah syarikat agensi keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah lebih RM1 juta pada empat tahun lalu.

S Nagindran, 35, didakwa atas tiga pertuduhan sebagai akauntan syarikat G15 Security Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan kewangan syarikat berkenaan telah melakukan pecah amanah dengan mengambil wang milik syarikat itu berjumlah RM1,042,980.98 untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Brickfields di antara 20 Mac 2020 dan 22 Dis 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 406 kanun sama. Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Lelaki itu juga berdepan tiga pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan wang milik syarikat berkenaan berjumlah RM1,042,980.98 di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya R Harvind mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam bela, Lee Keng Fat, memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 18 Okt ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS