Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBB lulus usul resolusi tamatkan pendudukan Israel
Diterbitkan:  Sep 19, 2024 8:20 AM
Dikemaskini: 12:20 AM

GLOBAL | Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini secara majoriti meluluskan resolusi yang menggesa penamatan pendudukan tidak sah Israel ke atas Palestin dalam tempoh 12 bulan, lapor Anadolu Agency.

Resolusi yang dipelopori oleh Palestin itu diluluskan dengan 124 negara menyokong berbanding hanya 14 menolak, manakala 43 negara lain berkecuali.

Resolusi itu menegaskan pendudukan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk yang melibatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Selain itu resolusi berkenaan menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib mereka sendiri di bawah Piagam PBB.

Ia juga menegaskan semula bahawa isu Palestin adalah "tanggungjawab kekal PBB" sehingga ia diselesaikan selaras dengan undang-undang antarabangsa, sambil menekankan keperluan segera agar Israel menamatkan pendudukan yang bermula pada 1967.

Resolusi berkenaan seterusnya menyeru Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres membentangkan laporan mengenai pelaksanaan resolusi itu dalam tempoh tiga bulan selepas ia diluluskan.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS