Paling Popular
Terkini

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, enggan mengulas ketika ditanya mengenai perasaannya sebagai seorang pemimpin wanita apabila Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggelar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai "Nyonya tua".

Noraini menegaskan bahawa kenyataan Akmal tiada kaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota dan dia hanya akan menumpukan pada PRK tersebut.

"Itu tiada kaitan dengan pilihan raya kecil, biarkan sahaja, kami kini memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil ini," katanya ketika bertemu pengundi di DUN Mahkota hari ini.

Terdahulu, Free Malaysia Today memetik seorang pemimpin Umno yang tidak dinamakan berkata peranan Akmal dalam PRK itu dikurangkan bagi mengelakkan ketidakselesaan di kalangan pengundi Cina.

Ini kerana pengundi Cina meliputi kira-kira 35 peratus daripada jumlah pengundi di DUN berkenaan.

Sebelum kempen PRK berkenaan, dua pemimpin PH menyuarakan kebimbangan bahawa serangan Akmal terhadap Kok mungkin menjejaskan peluang BN untuk menang di kerusi itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan menafikan bahawa parti itu meminta Akmal menjauhkan diri daripada kempen PRK berkenaan kerana isu pensijilan halal.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Wanita Umno kecewa kerana tidak dapat bertanding di kerusi itu, Noraini tidak memberi jawapan langsung.

Sebaliknya dia berkata Wanita Umno akan melakukan yang terbaik untuk membantu kempen PRK tersebut memandangkan kepimpinan parti telah membuat keputusan.

"Akhirnya, ia terpulang kepada pengurusan atau kepimpinan untuk memutuskan siapa yang akan menjadi calon terbaik."

"Bagi parti, dan seperti kami sebagai jentera parti. Kami mesti patuh dan seperti biasa, Wanita Umno terus bekerja untuk membantu calon (Syed Hussein) di Mahkota,” katanya.

Noraini juga menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan isu 3R (Agama, kaum dan raja) di Mahkota.

Wanita Umno dan Pemuda Umno sebelum ini menyatakan hasrat meletakkan calon daripada sayap parti masing-masing untuk bertanding di DUN Makhota.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 dan 28 September sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS