Dua anggota polis berpangkat rendah di negeri ini yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketum telah digantung tugas berkuat kuasa hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata ketika ini anggota berpangkat koperal berusia 41 tahun serta koperal sokongan berusia 39 tahun itu telah direman pada 13 Sept lepas hingga esok di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“Di bawah bidang kuasa saya, dua anggota terlibat yang merupakan warga polis Perak itu telah pun diambil tindakan.
“Proses reman ini mungkin akan disambung sekiranya kertas siasatan masih belum lengkap, namun jika sebaliknya berlaku (siasatan lengkap) maka kita akan buat pertuduhan terhadap kedua-dua mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial kes tangkapan melibatkan tujuh anggota polis dilakukan Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah rumah di Tanjung Rambutan.
Dalam serbuan sekitar 1.30 pagi itu, didapati anggota yang ditahan terlibat dalam aktiviti memproses dan menjual air ketum serta menjalankan perniagaan rokok tidak bercukai.
- Bernama