Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tak boleh diterima' - PN mahu MOU baru dirangka
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata memorandum persefahaman (MOU) berhubung peruntukan yang baru perlu dirangka bagi menggantikan deraf sedia ada yang “tidak boleh diterima”.

Menurut laporan Berita Harian, Takiyuddin mendakwa draf MOU sedia ada tidak melibatkan perbincangan atau pandangan daripada PN.

Sekiranya perbincangan berasaskan MoU yang ini, kami rasa tiada ruang untuk kami sumbang apa-apa alternatif atau perbincangan.

"Ini disebabkan semua yang terkandung dalam draf MOU ini tidak boleh diterima melainkan perbincangan dibuat untuk mewujudkan draf MOU yang baru dengan perbincangan dilakukan oleh kedua-dua pihak.

"Sepatutnya tubuhkan jawatankuasa dahulu sebelum kedua-dua pihak membincangkan MOU (mengenai) apa yang perlu dan apa yang tidak perlu," kata Takiyuddin seperti dipetik.

MOU itu menggariskan syarat kepada ahli Parlimen PN sebagai pertukaran untuk mendapat peruntukan pembangunan untuk kawasan mereka.

Pada 15 September lalu, PN memaklumkan pihaknya sebulat suara menolak syarat-syarat yang dikemukakan.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS mendakwa pihaknya tidak dilibatkan dalam perbincangan untuk merangka MOU tersebut.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kena dari segi amalan undang-undang, mana-mana pihak yang mahu membuat MOU atau perjanjian, kedua-dua pihak perlu berbincang dan menerusi perbincangan itulah terhasilnya MOU.

"Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana tiada perbincangan langsung dibuat antara kerajaan dan PN sedangkan perdana menteri sebelum ini meminta perbincangan dibuat di antara PN dan kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof,” katanya.

Katanya lagi, dia telah dipertanggungjawab untuk berjumpa dengan Fadillah namun tiada sebarang perbincangan dibuat sebelum draf MOU diserahkan kepada PN pada 6 ogos lalu.

Terdahulu, ketua pembangkang Hamzah Zainudin memberikan empat sebab MOU itu ditolak, antaranya kebimbangan ia akan menjejaskan hak orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dia juga menyifatkan kandungan MOU itu sebagai bertentangan dengan “nilai budaya, moral dan agama”; boleh disalah tafsir dan berisiko menyebabkan salah guna kuasa serta ia menyekat kebebasan ahli Parlimen.

Susulan itu, Fadillah mendedahkan kandungan MOU itu dan menyifatkan kebimbangan Hamzah sebagai tidak berasas.

Di sebalik penolakan PN, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata kerajaan tetap terbuka untuk mengadakan kerjasama dan berunding dengan gabungan itu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS