Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu penempatan pegawai Jakim akan ditangani biro J'kuasa Harmoni
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 9:09 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) di bawah Kementerian Perpaduan Negara mengadakan pertemuan bersama Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) petang tadi.

Pertemuan itu diadakan susulan kebimbangan mengenai isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan-jabatan kerajaan seperti yang ditimbulkan baru-baru ini.

Selepas mesyuarat selama dua jam itu, kementerian berkenaan dalam satu kenyataan, berkata pemimpin agama bersetuju mengoptimumkan platform jawatankuasa berkenaan terutamanya Biro Pengurusan Isu dan Mediasi bagi membincangkan perkara-perkara sensitif melibatkan penganut agama.

Pertemuan di Putrajaya itu dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dan timbalannya, K Saraswathy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, dan wakil-wakil daripada MCCBCHST, termasuk presidennya, Tan Hoe Chieow.

“Pertemuan pada hari ini telah menemui kata sepakat antara semua wakil dan pemimpin agama Islam dan selain Islam berhubung polemik penempatan pegawai Jakim.

“Kesemua pemimpin agama bersetuju agar akan memanfaatkan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi dalam mencari solusi kepada isu, permasalahan atau polemik,” kata Aaron dalam kenyataan.

JK harmoni dipengerusikan bersama oleh Aaron dan Mohd Na’im, manakala keanggotaanya terdiri daripada wakil daripada Kementerian Perpaduan Negara, Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), 10 penganut agama Islam dan 15 orang mewakili penganut selain Islam.

Pertemuan itu pada awalnya dijadualkan pada 6 September lalu namun ditangguhkan.

Hanya salah faham

Kebimbangan yang dibangkitkan sebelum ini termasuk peranan Jakim dalam membentuk dasar kerajaan yang mungkin melebihi bidang kuasanya dan menjejaskan hak semua rakyat Malaysia.

Penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan juga didakwa mungkin melanggar peruntukan perlembagaan dan hak asasi yang digariskan dalam Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan.

Namun, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa Jakim telah menangani isu tersebut pada 7 Ogos lalu sebelum MCCBCHST mengeluarkan kenyataan pada 2 September.

Jakim menafikan dakwaan bahawa penempatan pegawainya tidak berlaku dalam pentadbiran terdahulu dan penempatan itu bermula pada tahun 1982 untuk pejabat di UK dan Indonesia.

Fahmi juga berkata tiada pelantikan baru pegawai Jakim dibuat di jabatan kerajaan dan menjelaskan isu tersebut hanyalah salah faham.

Mengulas lanjut, Kementerian Perpaduan Negara berkata pertemuan itu turut menjelaskan peranan pegawai kader Jakim yang hanya tertumpu kepada hal ehwal Islam serta tidak berperanan dalam perihal penggubalan dasar atau hala tuju di Kementerian dan jabatan.

Katanya, pelantikan kader jakim sejak tahun 2006 adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui permohonan daripada Kementerian, Jabatan atau agensi Kerajaan untuk melaksanakan fungsi hal ehwal Islam sahaja .

"Ketika ini terdapat seramai 1,250 orang kader Jakim dan tiada perjawatan baru di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan," kata kementerian itu,” jelasnya.

Ia menjelaskan bahawa tugas pegawai tersebut terhad kepada fungsi tertentu seperti:

- Pembangunan Insan (Kemahiran Insaniah, Bimbingan fardu Ain dan fardu Kifayah).

- Keselamatan (Kelas agama, pengukuhan akidah, bendung fahaman/ ekstrimisme)

- Pencegahan (Bimbingan & nasihat agama, kelas al-Quran & fardu ain, psikospiritual Islam, pembangunan insaniah).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS