Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kuasa Agong kurangkan hukuman Najib tak boleh dicabar - Peguam

Kuasa Yang di-Pertuan Agong dari sudut perlembagaan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib Razak tidak boleh dicabar di mahkamah, kata pasukan peguam bekas perdana menteri itu.

Dalam hujah bertulis oleh firma guaman Shafee & Co, mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa baginda dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Najib menegaskan bahawa Majlis Peguam Malaysia tidak boleh cuba membezakan antara nasihat oleh Lembaga Pengampunan dan kuasa prerogatif Agong untuk mengikuti atau mengabaikan nasihat tersebut.

Badan Peguam pada masa ini memohon kebenaran mahkamah sivil untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Lembaga Pengampunan bagi pengurangan hukuman terhadap Najib pada 29 Jan.

Keputusan itu menyebabkan hukuman penjara terhadap bekas menteri kewangan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib kini dipenjarakan atas kes rasuah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Pada asasnya, pendekatan pemohon (Badan peguam) mengabaikan fakta bahawa kuasa untuk memberikan pengampunan adalah prerogatif eksklusif yang tidak boleh dicerobohi dengan mempersoalkan peranan nasihat Lembaga Pengampunan.

"Keputusan untuk memberi pengampunan, tanpa mengira penglibatan Lembaga Pengampunan, kekal sepenuhnya dalam bidang kuasa Agong dan tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman," hujah peguam Najib.

Peguam bekas perdana menteri itu juga membangkitkan hujah mereka sebelum ini bahawa semakan kehakiman Badan Peguam gagal sejak awal kerana mesyuarat agung tahunannya (AGM) didakwa tidak sah awal tahun ini.

Pasukan peguam Najib berhujah bahawa Badan Peguam memutuskan untuk memfailkan semakan kehakiman pada AGM ke-78 pada Mac lalu, yang dihadiri kurang daripada 500 peserta.

Mereka mendakwa ini melanggar syarat minimum kehadiran 500 peserta AGM di bawah Seksyen 64(5) Akta Profesion Undang-undang 1976 (LPA).

Dalam penghujahan bertulis mereka sendiri, Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mewakili Lembaga Pengampunan mengemukakan hujah serupa bahawa kuasa pengampunan Agong berada di luar bidang kuasa mahkamah.

Bagaimanapun, melalui penghujahan bertulis mereka, badan Peguam menegaskan bahawa kedudukan undang-undang badan itu untuk memfailkan tindakan tersebut tidak terikat dengan AGM kerana ia diberi kuasa oleh LPA sendiri.

Badan Peguam merujuk kepada Seksyen 42(1)(a) LPA, yang memberikannya kuasa “untuk menegakkan keadilan tanpa mengira kepentingannya sendiri atau ahli-ahlinya, tanpa dipengaruhi oleh ketakutan atau pilih kasih.”

Hakim mahkamah sivil Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 11 Nov untuk memutuskan sama ada memberikan kebenaran kepada Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman atau sebaliknya.

Sekiranya badan profesion guaman itu mendapat kebenaran, mahkamah sivil akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujah berkenaan merit semakan kehakiman.

Kebenaran diperlukan untuk menapis permohonan yang remeh, mengganggu atau menyalahgunakan proses mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS