Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam sokong tubuh RCI kes di rumah amal dikait GISBH
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Badan Peguam Malaysia, yang menyatakan rasa ngeri terhadap pendedahan berikutan serbuan polis ke atas 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan, menyokong gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung perkara itu.

Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab memberi maklum balas kepada Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Dr Farah Nini Dusuki, yang mencadangkan RCI itu dengan menyatakan bahawa jenayah dan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang dilakukan di bawah nama agama adalah sangat mengejutkan.

“Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan RCI… untuk menyiasat secara menyeluruh kelemahan yang membenarkan penderaan ini berlarutan selama bertahun-tahun.

"Penemuan RCI diharapkan dapat membawa pembaharuan bermakna dalam dasar perlindungan kanak-kanak dan mekanisme pengawasan institusi,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Mohamad Ezri juga berkata pendedahan berkenaan kemungkinan hanya permulaan kerana rumah-rumah jagaan berkenaan telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Katanya, hal ini menimbulkan persoalan yang membimbangkan tentang rangka kerja kawal selia sedia ada.

"Badan Peguam Malaysia menyeru agar semua badan kawal selia, bukan sahaja PDRM dan JKM, menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat dan memastikan rumah-rumah ini

dipantau dan dikawal dengan teliti," tambahnya.

Mohamad Ezri turut menekankan kepentingan mengamalkan pendekatan holistik bagi mengelak tragedi seumpama itu berulang.

"Ini termasuk bukan sahaja tindakan segera terhadap pelaku, tetapi juga melaksanakan pembaharuan jangka panjang terhadap sistem yang mengawasi rumah-rumah ini,” tambahnya.

Selain itu, presiden Badan Peguam Malaysia juga menekankan kepentingan kesedaran dan penyertaan orang ramai.

"Adalah penting bagi rakyat untuk menyedari bahawa rumah jagaan yang tidak dikawal mempunyai risiko yang besar, terutamanya terhadap golongan rentan, seperti kanak-kanak.

"Kami menyeru setiap anggota masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, dan berperanan aktif dalam menjaga kebajikan anak-anak kita.

"Kita tidak boleh membiarkan penderaan mengerikan seperti ini terus diabaikan begitu sahaja," katanya lagi.

Rabu lalu, polis menyerbu rumah-rumah jagaan tersebut, yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menurut polis, 402 kanak-kanak telah diselamatkan dan siasatan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 13 daripada mereka didakwa diliwat atau diajar untuk menyerang orang lain secara seksual.

Pihak berkuasa turut menahan 171 orang termasuk seorang ustaz dan warden asrama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS