SPRM merampas wang tunai hampir RM800,000 yang disimpan di dalam bilik tidur ketika serbuan terhadap dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berkaitan sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi “counter setting”.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata seramai 60 individu, termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasaan, didapati bersekongkol dalam kegiatan itu.
Sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka dengan 95 individu telah diambil keterangan, katanya lagi.
"Sejumlah wang tunai RM518,250 dijumpai (di rumah) pegawai Imigresen kanan wanita Gred KP22 di Pahang. Wang diletakkan di dalam bagasi di bilik tidur.
"Selain itu, sejumlah wang tunai RM248,443 (dirampas) daripada pegawai Imigresen lelaki Gred KP19 di Melaka. Wang dijumpai di bawah katil bilik tidur utama,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.
Azam berkata pihaknya turut merampas wang tunai dalam mata wang asing, iaitu AS$9,900 dan 5,470 Baht.
Selain dua pegawai tersebut, katanya lagi, serbuan turut dijalankan terhadap seorang pegawai Imigresen kanan wanita Gred KP22 di Negeri Sembilan.
Daripada serbuan itu, dia berkata SPRM merampas 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai lebih RM200,000; 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang; lebih 12 jam tangan pelbagai jenama dan lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama serta komputer riba.
Selain itu, Azam berkata bagi operasi ini, SPRM turut menyita sembilan buah kenderaan dan 13 buah motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang hasil kegiatan itu.
Mengulas lanjut, Azam berkata dalang utama adalah seorang pegawai kanan Imigresen yang “berpengaruh” dalam sindiket dan dia akan dihadapkan ke mahkamah awal bulan depan.
Katanya, suspek yang berusia awal 40-an dan telah berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selama 20 tahun pernah meloloskan diri ketika operasi sebelum ini namun berjaya ditahan pada 5 September lalu.
"Suspek yang kita tangkap ini adalah dalang utama. Dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (imigresen) sebab dia yang berpengaruh.
"Dia menjadi 'focal person' (individu utama) sebagai perantara kepada hampir semua pegawai imigresen, supaya melaksanakan arahan yang diberikan olehnya," kata Azam lagi.
Katanya lagi, empat ejen lain yang terlibat juga akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.