Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan: MOU kerajaan akan mandulkan peranan pembangkang
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengkritik cadangan memorandum persefahaman (MOU) mengenai peruntukan pembangkang.

Pemimpin PKR itu menyifatkan MOU berkenaan sebagai cubaan untuk memandulkan peranan pembangkang di parlimen dan bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen.

"Sifat mengikat MOU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan parti pembangkang di parlimen.

"Mereka hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan. Ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang merupakan kerajaan bayangan atau 'shadow government' terpaksa tutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara.

"Kenapa? Kerana mereka telah menandatangani MOU dengan kerajaan iaitu badan eksekutif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan termaktub prinsip pengasingan kuasa, yang bertujuan untuk mengekalkan kebebasan tiga cabang utama negera – Parlimen (legislatif), kerajaan (eksekutif), dan badan kehakiman – setiap satunya bebas untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya seperti yang digariskan dalam Perlembagaan.

Pada 15 Sept, ketua pembangkang Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa mereka secara kolektif menolak MOU kerajaan, dengan menyebut empat kebimbangan utama, termasuk kebimbangan perjanjian itu mungkin menjejaskan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Susulan penolakan itu, Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof mendedahkan kandungan MOU itu dan menolak kebimbangan Hamzah sebagai tidak berasas.

Sementara itu, Hassan juga mendakwa MOU itu bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen, dengan menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk Ahli Parlimen, sama ada daripada kerajaan, pembangkang atau parti bebas, menandatangani dokumen lain selepas sudah mengangkat sumpah di hadapan Speaker.

Sebagai alternatif, Hassan mencadangkan reformasi parlimen perlu memberi tumpuan kepada kerajaan memperkenalkan Rang Undang-undang Peruntukan Kawasan Parlimen.

"Setiap Kawasan parlimen di seluruh negara (wajar) diberi hak secara automatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MOU.

"Setiap ahli parlimen sama ada di blok kerajaan atau di blok pembangkang atau di blok bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.

"Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MOU seperti yang dihebohkan kini," katanya.

Semalam, badan pemantau pilihan raya Bersih turut membuat lima syor berhubung MOU itu, termasuk gesaan agar eruntukan pembangunan kawasan harus dikanunkan dalam undang-undang, memastikan pengagihan saksama kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, sekali gus melindungi hak sama rata untuk semua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS