Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dakwa Saifuddin terdesak kerana kedudukan menteri tergugat
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 9:42 AM
Dikemaskini: 1:42 AM

PAS Perak mendakwa kedudukan Saifuddin Nasution Ismail sebagai menteri dalam negeri tergugat sehingga dia terpaksa mengeluarkan kenyataan media “terpanjang” yang mengkritik Muktamar Tahunan ke-70 PAS di Kerdau, Temerloh hujung minggu lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, adalah memalukan Saifuddin sehingga terpaksa menggunakan surat dengan jata negara mengeluarkan kenyataan yang bertaraf “siber trooper”.

Saifuddin Nasution Ismail

“Adalah satu keganjilan seorang menteri dengan kenyataan media menggunakan jata negara mengulas muktamar dan ucapan seorang presiden parti politik. 

“Apakah beliau keliru membezakan antara tugas seorang menteri dan setiauasaha sebuah parti politik. Atau sudah menjadi kebiasaan bagi beliau menggunakan kedudukan sebagai menteri untuk menyerang parti lawan?” soalnya menerusi satu kenyataan media.

Razman seterusnya mempersoalkan sama ada Saifuddin menggunakan kedudukannya sebagai menteri dalam negeri untuk membolehkan dirinya dilindungi undang-undang.

Dalam kenyataan medianya, semalam Saifuddin menyelar Muktamar PAS ke-70 lalu yang menurutnya sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam PAS di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang.

Muktamar PAS ke-70

Menurut Saifuddin,  pemimpin-pemimpin PAS dalam ucapan dan resolusi-resolusi mereka menghidangkan cacian, kebencian dan angan-angan.

"Sementara Rasulullah SAW telah mewujudkan Piagam Madinah untuk menyatukan semua penduduk Madinah dan mengisytiharkan yang Islam dan bukan Islam sebagai satu ummah, Hadi Awang sentiasa bertindak sebaliknya dengan melaga-lagakan antara rakyat berbagai kaum dan antara rakyat berbagai agama,” katanya.

Sebaliknya Razman tidak bersetuju dan berkata, muktamar PAS adalah hala tuju parti itu mengarungi politik dan dakwah.

Menurutnya ucapan presiden PAS dan perbahasan perwakilan bersifat muhasabah dan dan menggagaskan jala tuju perjuangan parti. 

“Adalah memalukan bagi seorang menteri melabelkan perjuangan PAS sebagai khawarij seperti mana kerja yang dilakukan seorang siber trooper upahan .

“Apakah ini standard seorang setiuasaha agung parti politik memerintah.

“Mungkin inilah alasan sebenar presiden PKR menukar beliau dari setiausaha agung seperti diwar-warkan media,” katanya.

Pada Ahad lalu, PKR melantik Fuziah Salleh sebagai setiausaha agung yang baru bagi menggantikan Saifuddin yang disebut akan menumpukan tugasnya sebagai ketua setiausaha PH.

Fuziah Salleh

Menurut Razman lagi, sangat melucukan apabila Saifuddin mengulas mengenai gurau dan unsur kecindan dalam perbahasan perwakilan seperti menambah isteri sebagai fakta untuk diulas.

“Ternyata menteri ini sukar mencari fakta untuk menyerang (PAS),”katanya lagi. 

Pada perbahasan Pemuda PAS, 12 September lalu, seorang perwakilan menimbulkan cadangan taktik berkahwin dengan bukan Melayu. Katanya, ini boleh memenangi parti itu dengan mendapat satu undi tetapi berpuluh, malah ratusan undi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS