Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MP cadang tubuh jawatankuasa k’jaan-PN untuk rangka MOU
Diterbitkan:  Sep 17, 2024 9:49 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa kerja dwipartisan agar kerajaan dan pembangkang untuk merangka memorandum persefahaman (MOU) berhubung peruntukan pembangkang.

Merujuk keputusan PN untuk menolak MOU itu, Ong berkata jawatankuasa itu membolehkan kerajaan dan pembangkang merangka syarat yang dapat diterima kedua-dua pihak.

“Inilah yang dilakukan PH ketika kerajaan Ismail Sabri (Yaakob) merangka MOU yang ditandatangani pada 2021,” katanya di X.

Ong merujuk MOU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai di tengah penularan wabak Covid-19.

Berbanding proses sekarang, Ong berkata kaedah terbaik adalah meluluskan satu Akta Pembangunan Kawasan, dengan memberi peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen tanpa mengira parti.

MOU itu menggariskan syarat kepada ahli Parlimen PN sebagai pertukaran untuk mendapat peruntukan pembangunan untuk kawasan mereka.

Hari ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan PN menolak MOU itu, yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan dan nilai-nilai masyarakat Asia.

Kenyataan itu susulan langkah Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof - yang mewakili kerajaan dalam rundingan dengan PN - mendedahkan kandungan MOU kepada umum, selepas keputusan PN untuk menolaknya dan mengkritiknya secara terbuka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS