Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid gesa setiap negeri kuat kuasa fatwa haram Al-Arqam ke atas GISBH
Diterbitkan:  Sep 17, 2024 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Amanah menggesa pihak berkuasa agama di setiap negeri untuk menguatkuasakan fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1994 pada setiap ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB), menurut timbalan presidennya Mujahid Yusof.

Mujahid merujuk fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 yang mengharamkan kumpulan Al-Arqam, atas dasar fahamannya bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

GISBH sebelum ini dikaitkan dengan bekas anggota Al-Arqam dan didakwa masih meneruskan ajaran pertubuhan itu yang telah diharamkan dan difatwakan sesat.

Namun, syarikat itu sebelum ini beberapa kali menafikan sebarang perkaitan dengan kumpulan itu.

"Amanah menggesa pihak berwajib agama di setiap negeri menguatkuasakan fatwa tahun 1994 pada setiap ahli GISB supaya mereka kembali ke pangkal jalan sepertimana yang diajarkan oleh Syariat Islam. 

“Pada masa sama Amanah yakin kepada kecekapan pihak polis dan institusi perundangan negara untuk mengadili isu GISB mengikut prinsip undang-undang.

"Tiba masanya semua pihak bergabung tenaga bagi memelihara keselamatan akidah dan keselamatan awam yang dilakukan oleh ajaran-ajaran sesat Islam yang bertopengkan simbol agama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 September lalu, Jakim berkata pihaknya akan membentangkan kajian berkenaan isu akidah, syariah dan tasawuf membabitkan GISBH kepada MKI sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pula memaklumkan bekas pengikut syarikat itu akan dipanggil bagi memantu melengkapkan laporan berkaitan dakwaan ajaran sesat yang diamalkan syarikat itu.

Mujahid yang merupakan bekas menteri agama berkata, isu GISBH pernah dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) pada 2018 dan Jakim melaporkan syarikat itu merupakan “jelmaan baru” Al-Arqam.

“Jakim turut melaporkan ketika itu GISBH masih lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994,” menurutnya lagi.

Katanya lagi, Amanah mengecam mana-mana pihak yang mempergunakan agama bagi “tujuan keji”, termasuk eksploitasi kanak-kanak yang didakwa dilakukan syarikat itu.

"Perbuatan mengeksploitasi atas nama agama dan menggunakan kanak-kanak ini untuk mengutip derma harus dihentikan segera termasuk ke atas pihak lain," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS