Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pokok tumbang, banjir kilat akibat hujan dan angin kencang di P Pinang

Hujan lebat dan angin kencang selama beberapa jam sejak awal pagi hari ini di Pulau Pinang telah menyebabkan puluhan pokok tumbang dan kawasan rumah dilanda banjir kilat.

Hujan lebat melanda negeri itu sejak pukul lima hingga sembilan pagi hari ini, namun setakat pukul satu tengah hari, tiada penduduk yang dipindahkan atau pusat pemindahan sementara (PPS) di buka.

Pokok tumbang dilaporkan berlaku di Paya Terubong, Relau, Bukit Jambul, Pulau Tikus, Bayan Baru, Balik Pulau, Tanjung Bunga, Penaga dan Butterworth.

Kawasan dilanda banjir kilat pula melibatkan Permatang Rawa, Perda, Bayan Lepas dan Nibong Tebal.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata dua lelaki dan seorang wanita yang sarat hamil nyaris maut selepas kedua-dua kereta mereka ditimpa pokok tumbang dalam kejadian berasingan di Jalan Paya Terubong, Relau dan Jalan Siram, Butterworth.

Jurucakap itu berkata dalam kejadian di Relau yang berlaku kira-kira 8.46 pagi, dua lelaki menaiki sebuah kereta sedang melalui kawasan berkenaan sebelum sebatang pokok sebesar satu pemeluk dewasa tiba-tiba tumbang dan menghempap kenderaan mereka.

Kedua-dua lelaki itu sempat keluar dari kereta dan menyelamatkan diri, manakala dalam kejadian di Jalan Siram, seorang wanita berjaya diselamatkan selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian 8.30 pagi, katanya lagi.

"Wanita berkenaan yang memandu kereta jenis Honda Civic berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Selain itu, pihak bomba turut menyelamatkan dua wanita orang kurang upaya (OKU) berusia lingkungan 50-an selepas rumah mereka di Jalan Bayan Kechil, dekat George Town dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Mereka terkandas dalam rumah selepas air memasuki kediaman penduduk di situ kira-kira 60 sentimeter dan pihak bomba membawa kedua-duanya ke tempat selamat, kata beliau.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS