Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nabi buat Piagam Madinah satukan penduduk, tapi Hadi laga-lagakan kaum'
Diterbitkan:  Sep 17, 2024 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pimpinan PAS hari ini menyimpang jauh daripada perjuangan asal yang diasaskan tokoh-tokoh terdahulu seperti Prof Zulkifli Muhammad, Burhanuddin Al Hilmi dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, identiti presiden PAS kini Abdul Hadi Awang sinonim dengan politik kebencian dan menyemarakkan fenomena takfir (mengkafirkan orang lain) di negara ini.

"Pemimpin PAS sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengikuti kerajaan hidayah dan Hadi Awang mengkritik kerajaan perpaduan Madani sebagai kerajaan iibayah.

"Bagaimanapun, usaha Kerajaan Madani meningkatkan ekonomi negara untuk membantu rakyat terbukti berhasil, manakala cubaan lemah PAS merosakkan kepercayaan pelabur menunjukkan perjuangan politik yang hipokrit dan berlandaskan fitnah,” katanya.

Dia berkata demikian merujuk ucapan Abdul Hadi dalam Muktamar PAS ke-70 baru-baru ini yang mendakwa kerajaan perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.

Menurut Saifuddin, fakta sejarah menunjukkan Madinah diperintah oleh Nabi Muhammad SAW dan para pengikut baginda yang beriman dan bukan golongan munafiqun.

"Oleh itu, perbandingan antara kerajaan perpaduan hari ini dengan golongan munafiqun di Madinah adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Dari sudut agama, adalah tidak wajar untuk menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah SWT dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain," tegasnya.

Menurut Saifuddin, cacian, kebencian dan angan-angan inilah yang dihidangkan pemimpin-pemimpin PAS dalam ucapan dan resolusi-resolusi mereka pada Muktamar PAS ke-70.

"Sementara Rasululllah SAW telah mewujudkan Piagam Madinah untuk menyatukan semua penduduk Madinah dan mengisytiharkan yang Islam dan bukan Islam sebagai satu ummah, Hadi Awang sentiasa bertindak sebaliknya dengan melaga-lagakan antara rakyat berbagai kaum dan antara rakyat berbagai agama.

"Sementara Rasulullah SAW menyampaikan risalahnya dengan mau`idzah dan hikmah, Hadi Awang didorongi kebencian dan kemarahan dan membudayakan caci-cerca, herdik-mengherdik dan memaki hamun di dalam PAS.

"Sementara Rasulullah S.A.W. telah membina sebuah masyarakat yang adil dan dipimpin para sahabat yang menjadi contoh akhlak yang mulia, PAS di bawah kepimpinan Hadi Awang menyaksikan rekod paling ramai ahli keluarga pemimpin-pemimpin PAS di siasat dan didakwa kerana penyelewengan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS