Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Op Global: Ada unsur penderaan fizikal, emosi terhadap mangsa - IGP

Hasil ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi Ops Global mendapati terdapat unsur penderaan fizikal dan emosi terhadap mangsa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ujian saringan kesihatan melibatkan 202 kanak-kanak lelaki dan 190 kanak-kanak perempuan selesai dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam dan ia memerlukan penilaian lanjut terutama berkaitan kesihatan emosi kesemua mangsa yang diselamatkan.

“Elemen jenayah pertama yang kita kesan berlaku kepada mangsa, ialah penderaan fizikal dan emosi seperti mana kita maklum terdapat video tular di media sosial menunjukkan mangsa dipukul, disebat dan ditekan dadanya serta pengantunan kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat juga elemen buruh dan eksploitasi kanak-kanak dengan mereka yang berumur bawah 18 tahun dipaksa bekerja menjual barang. Siasatan polis juga mendapati terdapat unsur pengabaian kanak-kanak berlaku selain menghadapi masalah kekurangan zat makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung perkembangan Op Global yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Turut sama pada sidang media berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Pakar Perunding Kecemasan Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noorzilawati Ahmad dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wan Noraidah Wan Mohd Zain.

Mengenai kebajikan mangsa, Razarudin berkata sebanyak 149 mangsa kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun telah diberikan perintah jagaan sementara oleh JKM.

“Perintah jagaan sementara ini mengikut Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan mereka telah dipindahkan di empat tempat perlindungan selamat manakala baki 243 orang masih ditempatkan di Pulapol Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata polis membekukan 96 akaun milik syarikat GISB yang telah dikenal pasti mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

“Akaun yang kita bekukan melibatkan nilai RM581,552.31 dan empat akaun dikenakan perintah untuk ditutup. Selain itu, polis turut menyita lapan buah kenderaan milik syarikat tersebut,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS