Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli kesal Oraco tetapkan tarikh tapi tak datang mesyuarat
Diterbitkan:  Sep 17, 2024 11:14 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Masyarakat Orang Asli yang membantah pengambilalihan projek tanaman semula komersial (TSK) oleh Pahang Orang Asli Corporation (Oraco) meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan wakil syarikat itu hadir pada mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Setiausaha Persatuan Masyarakat Orang Asli Jahut, Naham Nasir berkata, mesyuarat itu diadakan pada 13 Sept lalu dan dianjurkan oleh Persatuan Suku Jakun Pahang (PSJP).

Bertempat di Kampung Orang Asli Kundang, Pekan, mesyuarat itu dihadiri kira-kira 500 orang Orang Asli dari beberapa daerah dengan kerjasama tok-tok batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pahang.

"Tujuan perjumpaan ini diadakan adalah untuk berdialog dengan pihak Pengerusi Oraco iaitu, Muhammad Olian Abdullah serta untuk menyerahkan satu surat bantahan berhubung tindakan pihak Oraco mengambil alih pengurusan ladang TSK dan pengesahan status tanah Orang Asli.

"Namun, perjumpaan ini tidak mencapai maksud dan tujuannya apabila pihak Oraco Sdn Bhd tidak dapat hadir pada tarikh yang mereka sendiri telah tetapkan. Tindakan pihak Oraco Sdn Bhd ini amat mengecewakan Orang Asli yang hadir pada hari itu," katanya.

Pada 1 Ogos, aktivis Orang Asli, Eliana Tan melahirkan rasa kesal apabila masyarkat Orang Asli kurang dirunding sebelum Oraco mengambil alih projek tanaman semula - yang sebelum ini diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Eliana berkata, beberapa program TSK penduduk kampung sudah diambil alih oleh Oraco walaupun mereka membantah, dan ini tidak mengikut prinsip persetujuan bebas, telus dan termaklum serta melanggar hak Orang Asli untuk menentukan nasib sendiri.

Pada 4 Sept, Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi, meletakkan jawatannya dalam Oraco selepas ketegangan semakin memuncak antara syarikat milik kerajaan Pahang dan komuniti Orang Asli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS