Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi dikecam dakwa 'Madani macam munafik di Madinah era awal Islam'
Diterbitkan:  Sep 16, 2024 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Pemuda Amanah mengutuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa pentadbiran kerajaan perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.

"Pemuda Amanah mengecam sekeras-kerasnya tindakan Abdul Hadi kerana mengeluarkan ucapan yang berbentuk hasutan yang boleh menyebabkan tragedi Memali berulang seperti mana 'amanat Hadi Awang' di Banggol Peradong," kata Setiausahanya Shahir Mohd Shah.

Pemuda Amanah juga menyeru sayap pemuda parti-parti politik dalam kerajaan Madani untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan Abdul Hadi itu.

Munafiq merujuk kepada seseorang yang secara terbuka menunjukkan dia seorang Muslim tetapi dalam hati menolak Islam atau bertindak bertentangan dengan agama, atau ketika berada di kalangan musuh agama.

Shahir (gambar atas) mendakwa ucapan Abdul Hadi semasa Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, penuh dengan kebencian dan dendam, serta ekstrem untuk seseorang yang digambarkan sebagai seorang ulama dan tokoh Islam.

"Pemuda Amanah menyeru semua kepimpinan Pemuda Perpaduan untuk mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak Polis atas ucapan yang dilakukan oleh Hadi Awang. Inilah ruang yang ada dalam berpolitik.

"Kita masih punyai badan penguatkuasa yang boleh menyiasat dan melaksakan tindakan undang-undang," kata Shahir.

Pemimpin Pemuda Amanah itu berkata tuduhan ekstrem Hadi menggunakan istilah yang salah tidak berbeza dengan tindakan (kumpulan militan) IS dan (kumpulan supremasi kulit putih Amerika) Ku Klux Klan.

"Bukan sekali ucapan Abdul Hadi yang mengandungi unsur sedemikian.

"Jika medan muktamar PAS telah dijadikan medan melempar tuduhan munafik dan menuduh ada usaha mengubah agama Allah, hakikatnya muktamar PAS tidak lebih dari perhimpunan yang kosong idea dan matlamat," kata Shahir lagi.

Peristiwa pada 19 November 1985 itu menyaksikan pertempuran penduduk kampung di Baling yang dipimpin pendakwah dan pemimpin PAS, Allahyarham Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dengan pasukan keselamatan.

Tragedi yang mengakibatkan 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim dan empat anggota keselamatan terkorban itu berlaku ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

PAS mempersalahkan Mahathir berhubung apa yang berlaku manakala bekas perdana menteri itu pula mendakwa ia sebenarnya kesalahan Hadi - yang didakwa meniupkan keganasan melalui "Amanat Hadi" pada 1981.

PAS mendakwa Operasi Angkara dilancarkan pihak keselamatan ketika itu bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

Anggota PAS yang terkorban dianggap syahid oleh PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS