Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS l Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa parti-parti pembangkang Perikatan Nasional (PN) akan dikenakan ‘shadow banned’ oleh kerajaan sebagai taktik terakhir menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah itu akan diambil secara berskala besar menerusi platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp.

Ahmad Fadhli Shaari

“Selepas ini tolong imbas kod QR kita (PAS) dan kemas kini perkembangan yang ada. Untuk apa kalau kita bergantung pada medium-medium seperti Facebook, TikTok dan sebagainya. Kita akan berpotensi akan dikenakan ‘shadow banned’.

“Jadi, saya nak ingatkan bahawa strategi terakhir yang ada pada kerajaan hari ini khususnya menjelang pilihan raya sedikit masa lagi ialah mereka akan mengenakan shadow banned secara besar-besaran kepada platform TikTok, Facebook dan WhatsApp,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-70 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

‘Shadow banned’ merujuk apabila status, komen, atau aktiviti tidak muncul atau tidak dapat dilihat di media sosial, tetapi masih belum menerima notifikasi larangan rasmi.

Orang hentam Tok Guru sampai lunyai

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pada ucapan penggulungannya mengakui bahawa dia sedih apabila mendapat tahu presiden parti, Abdul Hadi Awang juga menjadi sasaran “serangan” di media sosial,

Idris Ahmad

“Saya kadang-kadang sedih apabila orang hentam Tok Guru (presiden PAS) lunyai, dalam page kita.

“Bukan page musuh, page musuh tak kira, page kita. Saya kata mana dia orang muda-muda dalam PAS,” katanya.

Sehubungan itu, Idris meminta anggota Pemuda dan Dewan Muslimat supaya lebih aktif dalam menangkis dakyah berkenaan.

SG4 jadi SG6

Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh pula berharap agar penubuhan kerajaan empat negeri (SG4) dapat dikekalkan selepas tamatnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Malah, katanya, dia turut berharap agar penubuhan SG4 itu dapat dikembangkan dan ditambah kepada beberapa buah negeri lagi.

“Bukan sahaja SG4, tetapi insya-Allah mungkin akan menjadi SG5, SG6 dan sebagainya,” katanya sambil disambut oleh laungan takbir.

Katanya, soal kemenangan untuk memartabatkan Islam bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Kita sendiri melihat PAS yang telah berusia lebih 70 tahun, tetapi Allah masih lagi tidak mengizinkan PAS untuk mengepalai kepimpinan negara Malaysia.

“Baru-baru ini telah pun bersama Perikatan Nasional, tetapi tidak lama. Harapan besar kita untuk PRU16 nanti, insya-Allah kita bukan sahaja memimpin negeri-negeri yang kita cita-citakan, tetapi kita akan mengambil alih kerajaan negara Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS