Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2

MUKTAMAR PAS l Dewan Ulama PAS hari ini tampil menjelaskan tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang dikritik perwakilan kerana melakukan aktiviti karaoke tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

Justeru, ketuanya, Ahmad Yahaya berkata dakwaan bahawa ulama mempertahankan pemimpin PAS itu bukan dibuat secara membuta-tuli.

“Kalau kata Dewan Ulama PAS mempertahankan pemimpin berkaraoke, Kedah dipanggil ‘ashabul karaoke’. Kita dah faham nak tuju pada menteri besar Kedahlah tu, dikata saya pertahankan kawan-kawan, saya lama berkawan dengan menteri besar Kedah.

“Kita kenal hati jiwa, beliau sentiasa berusaha lebih-lebih lagi abila diberi amanah jaga negeri, nak menyantuni rakyat sebab itu di mana saja nak gambar bersedia, ajak selfie ajak menyanyi pun menteri besar bersedia.

“Dewan Ulama perhati dan tengok, mana bukan perkara mungkar, mungkar adalah perkara yang disepakati dosa, perbuatan yang ditegah selagi tak disepakati, Dewan Ulama PAS tak adalah sampai pertahan cuma (kena) adillah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulung Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Saifizi Saidon

Semalam Malaysiakini melaporkan perwakilan PAS Perlis Mohd Saifizi Saidon menyelar kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh parti itu.

Malah katanya, akhlak dan asas kepimpinan Islam yang sepatutnya dipegang telah terabai berbanding pada masa lalu apabila PAS begitu ketat mengawal selia kualiti kepimpinannya dengan sangat ketat termasuk terlibat dalam aktiviti karaoke. 

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Mohd Saifizi dipercayai merujuk kepada Sanusi berhubung isu karaoke. 

Ahmad berkata aktiviti seperti menyanyi, bersukan dan  sebagainya boleh dilakukan selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Katanyanya Sanusi juga menyambut apabila diminta membaca al-Quran dalam majlis perasmian Festival al-Quran Sanusi.

“Bukan saja di padang bola, kabadi, apa saja yang diminta oleh rakyat selagi tidak bercanggah dengan agama akan disambut.

“Saya nak gambarkan inilah sikap dan pendirian yang diambil Dewan Ulama, kita tidak mempertahakan secara membuta-tuli.

“Kita ada alasan nak beri peluang kepada pemimpin kita dekati semua pihak dan segmen-segmen masyarakat,” jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tak ramai orang bersedia kalau dijemput berkaraoke.

“Saya sendiri kalau dijemput berkaraoke saya tak boleh, bukan saja nak orang rasa sedap dengar lagu kita menyanyi, kita sendiri dengar pun tak sedap,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS