Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara berdepan dua puak bawa kebencian - PM
Diterbitkan:  Sep 15, 2024 12:37 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan cabaran kerajaan berdepan dua kelompok pembawa kebencian yang telah menjadikan negara "dalam simpang-siur."

Ini terjadi apabila satu pihak membenci Islam manakala satu pihak lain membawa fahaman Islam yang penuh kebencian.

"Kalau kerajaan jahat semua, yang baik hanya kabilah dan kelompok mereka. Ini jenis asabiyah yang akan merosakkan sendi kekuatan masyarakat.

“Jadi kita terpaksa berdepan dua dua tarikan ini, di satu pihak Islamofobia, maknanya tak boleh langsung sebut Islam.

"Di satu pihak lagi mereka sahaja kelompok Islam yang lain semua sesat dan jahat dan zalim,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.

Untuk rekod, istilah “asabiyah” (fahaman kepuakan dan kesukuan) mempunyai konotasi buruk kerana mengandungi unsur ekstremis atau sikap keterlaluan terhadap suku atau kelompoknya.

“Negara ini dalam simpang-siur, di satu pihak sebaik sahaja sebut Islam dia terus melenting.

“Bila saya sebut Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) harus nasihat kerajaan dalam semua bidang apa salahnya (tetapi) ada yang melenting.

“Ada yang melenting kata ada usaha untuk menghasut rakyat menggunakan program-program Islam. Di mana salahnya,” soalnya tanpa menamakan secara khusus pihak-pihak yang dimaksudkannya itu.

“Bukan kita suruh buat zalim. Kita faham hak bukan Islam kita hormati mereka.

“Tetapi jangan dia bawa fahaman barat Islamofobia, sampaikan kita tak boleh sebut pasal Islam.

“Jadi, kita harus berdepan pihak ini. Ada satu pihak lain bawa Islam penuh kebencian, orang lain semua buruk, kalau kerajaan jahat, kalau sebut Zahid (Hamidi) nampak jahat semua,” katanya menyentuh timbalannya yang turut hadir pada majlis sama.

“Tiada kebaikan, kalau jahat semua kerajaan, yang baik hanyalah kabilah dan kelompok mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS