Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Pahang sedia tutup premis judi, kasino jika menang PRU16
Diterbitkan:  Sep 15, 2024 11:01 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

MUKTAMAR PAS l Kepimpinan PAS menyatakan komitmen untuk menutup premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highland sekiranya parti itu berjaya menawan Pahang pada PRU ke-16.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Andansura Rabu berkata, perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.

Andasura Rabu

“Dalam aspek itu kita perlu melihat kepada lunas undang-undang, kalau kita ada kuasa di peringkat negeri, kalau kita boleh buat, kita akan buat.

“Contohnya (kasino) di Genting Highland kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat.

“Tetapi (kalau) dalam mana-mana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita, kita akan melihat perkara-perkara yang mendatangkan keburukan kepada rakyat kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Andansura yang juga Adun Berserah berkata demikian ketika ditanya berhubung perkara itu bagi mengikuti jejak langkah kerajaan PAS seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tambahnya, apa saja perkara yang boleh memudaratkan masyarakat perlu disokong untuk dibanteras.

“Mana-mana yang boleh boleh memudaratkan masyarakat kita perlu bersama-sama menyokong dan hapuskannya termasuklah judi yang kita sebenarnya nak bertindak ini bukan sahaja orang Islam yang haramkan judi. 

“Semua agama pun tak membenarkan judi, maka tidak ada alasan agama dalam isu itu, ia adalah alasan sosial. Kita menjaga kebajikan sosial dan kesejahteraan rakyat. 

“Jadi ini memudaratkan kita tutuplah tetapi mesti ikut lunas undang-undang dan perlembagaan. Jadi kalau rakyat Pahang tak suka judi, nak suruh tutup judi kena sokong PAS, insya-Allah,” jelasnya.

Rosli Jabar

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Jabar pula berkata perkara itu sesuai dengan tema Muktamar PAS kali ini iaitu ‘Islam jalan penyelesaian’ meliputi segenap aspek sama ada dari sudut sosialnya, ekonomi dan pemerintahan. 

Katanya pihaknya  empat negeri yang diperintah oleh PAS, dan memahami faham kuasa negeri dan persekutuan ini tidak sama kadang-kala berlaku pertindihan kuasa.

“Namun dalam konsep Islam dengan maksud kita buat apa yang boleh dibuat peringkat negeri. Dalam isu judi mungkin kuasa negeri kuasa kepada kita dalam sudut premis sahaja. 

“Kita boleh tutup sesebuah premis tetapi dalam soal kasino seperti di Genting Highland itu kita perlu lihat dari segi undang-undang apakah kerajaan negeri mampu tutup, kalau kita mampu insya-Allah kita akan tutup,” tegasnya.

Pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing menang 17 daripada 42 kerusi DUN Pahang.

Pakatan Harapan (PH) pula memperolehi lapan kerusi. Bagaimanapun, BN-PH kemudiannya bergabung dan menyaksikan mereka meraih majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS