Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sebulat suara tolak MoU dengan kerajaan
Diterbitkan:  Sep 15, 2024 9:00 AM
Dikemaskini: 2:17 AM
4

Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli parlimennya. 

MoU itu adalah di antara kerajaan dan parti PN serta di antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN.

Menurut Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, keputusan sebulat suara menolak MoU tersebut dibuat atas empat sebab fundamental yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami membuat ketetapan sebulat suara menolak Mou tersebut.

“Beberapa  syarat yang dikenakan dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

“MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.

“Deraf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Hamzah berkata, draf berkenaan turut mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen.

“(Ini) sedangkan setiap ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PN  mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan, yang berjanji menyediakan dana pembangunan kawasan pilihan raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Katanya, rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji- janji tersebut.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan mendedahkan menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan pengisytiharan harta merupakan antara tujuh syarat  MoU.

Katanya, memorandum itu juga merangkumi tujuh kandungan antara obligasi dan syarat yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuklah isu berkaitan isu agama, kaum dan raja (3R)

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada Jun lalu, berkata isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan.

Ini kerana, katanya, syarat ditetapkan kepada mereka yang mahu mendapat peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS