ULASAN | Kontroversi mengenai pensijilan halal membelah masyarakat kepada yang menyokong dan yang membangkang. Sepertimana isu-isu lain yang terkait dengan etnik dan agama ia cenderung mengukuhkan polarisasi yang juga turut mengikut garis pemisah etnik dan agama.
Jika ditinjau di ruang komen di pelbagai media sosial, agak jelas memperlihatkan bahawa polarisasi antara etnik dan agama yang sedia ada semakin dipertajamkan apabila isu ini tular.
Rencana ini tidak bertujuan untuk menajamkan lagi polarisasi, tidak juga untuk menumpulkannya.
Sebaliknya ia hanya sekadar untuk memahami sudut-sudut lain khususnya dari aspek sosio-sejarah dan struktur sosial masyarakat Melayu terutamanya yang melahirkan fenomena kepemakanan halal.
Kepemakanan adalah suatu set amalan tentang makanan dari mula ia diperolehi, diolah, dibungkus, disimpan, disediakan sehinggalah ia sampai ke mulut pengguna.
Halal pula adalah tentang apa yang dibenarkan dan apa yang diharamkan oleh agama, tak semestinya merujuk kepada makanan semata-mata. Justeru, kepemakanan halal adalah keseluruhan amalan tentang makanan dan prosesnya yang dianggap absah dan dibenarkan oleh agama.
Dalam konteks Malaysia, halal merujuk kepada Islam. Umumnya dikaitkan dengan makanan.
Namun di dunia yang beroperasi menerusi pasaran terbuka dan kapitalisme global halal bukan hanya tentang makanan, pemakanan dan prosesnya. Halal juga adalah tentang kuasa, penguatkuasaan, politik, ekonomi, pemantauan, kawalan, etika, moral, modal, nasionalisme, transnasional, globalisasi, etnisiti dan juga identiti.
Haram makan babi
Untuk membahaskan kesemua aspek yang terkait dengan fenomena halal tentunya tak mungkin dapat dilakukan dalam ruang yang terbatas ini.
Justeru, tulisan ini hanya akan menghuraikan secara ringkas tentang fenomena halal dalam bentuk moden dan kaitannya dengan perubahan sosio-ekonomi-budaya, sarana kepada pembezaan dan kesolehah, etnik serta identiti.
Persoalan kepemakanan halal bagi umat Islam tentunya sudah ribuan tahun wujud. Ia ditandai dengan arahan Tuhan dalam Al-Quran di surah al-Baqarah, ayat 172-173 dan juga surah al-Maidah, ayat 3.
Sebab musabab kenapa ada haiwan yang diharamkan (misalnya khinzir) melibatkan pelbagai pandangan.
Namun, halal dalam konteks moden di Malaysia hanya dikuatkuasakan oleh lembaga negara yakni Pusat Penyelidikan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1974.
Ia dimulai dengan pemberian surat pengesahan halal kepada produk-produk yang dinilai sebagai memenuhi kehendak syarak. Hanya di tahun 1994, 20 tahun selepas itu, barulah pengesahan halal diberikan dalam bentuk sijil dan logo.
Justeru, tahun 1974 boleh kita letakkan sebagai pemula kepada pentarikhan pengoperasian kepemakanan halal oleh lembaga negara di Malaysia.
Tragedi gelap 69
Persoalannya ialah ada apa dengan tahun 1970an? Apa latar politik, ekonomi dan sosialnya?
Pertamanya sebelum kita melihat fenomena dan peristiwa-peristiwa penting yang melatari tahun 1970an itu, mungkin kita perlu kembali sedikit ke belakang, yakni tahun 1969.
Ia tahun penting yang mencorakkan Malaysia seterusnya, terutama di dalam hubungan antara etnik.
Tahun yang mengubah corak pemerintahan “laissez faire” kepada yang lebih bersifat “tumpu Melayu-Islam”.
Di dalam ingatan ramai warga Malaysia, 1969 tahun tragedi gelap yang melibatkan rusuhan etnik yang telah mengorbankan pula ratusan nyawa.
Sebab musabab berlakunya rusuhan ada pelbagai. Namun sebab yang dianggap oleh ramai sarjana akademik sebagai faktor utama adalah kesenjangan ekonomi khususnya antara Melayu dan Cina.
Justeru, pada tahun 1971 Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan dengan tujuan utamanya adalah perpaduan dan integrasi kebangsaan menerusi dua kaedah yakni pertamanya pengurangan jurang kemiskinan antara etnik dan keduanya menyusun semula masyarakat supaya fungsi ekonomi mengikut etnik dapat dihapuskan.
Kelas menengah Melayu berkembang
Kedua-dua kaedah ini antaranya memerlukan kelahiran lebih ramai usahawan-usahawan dan peniaga-peniaga Melayu, penghijrahan lebih ramai orang Melayu ke bandar-bandar besar yang sebelumnya dihuni oleh majoriti bukan Melayu, kemasukan mahasiswa-mahasiswa Melayu ke universiti dan pusat pengajian tinggi yang berlokasi di bandar besar, penempatan penjawat-penjawat awam Melayu di lembaga-lembaga birokrasi negara dan penyediaan peluang-peluang pekerjaan di kilang-kilang perindustrian dan sektor perkhidmatan di bandar-bandar.
Dengan galakan, dorongan dan keistimewaan yang diberikan menerusi DEB, maka turut membesar kelas menegah Melayu yang merupakan suatu segmen konsumer yang cukup penting dalam sistem kapitalisme dan ekonomi pasar di Malaysia ini.
Bagaimanapun tahun 1970an bukan hanya tahun DEB dilancarkan tetapi ia juga adalah tahun-tahun kebangkitan semula Islam.
Goncangan ekonomi-budaya-sosial yang dihadapi oleh masyarakat Melayu desa yang berhijrah ke bandar yang ketika itu dipenuhi oleh warga bukan Melayu dan bukan Islam, sama ada menerusi peluang pekerjaan, perniagaan kecil-kecilan atau pendidikan mengkehendaki suatu bentuk penampan untuk mengurangkan disorientasi sosial.
Tercabutnya akar budaya Melayu daripada pertanian kepada perindustrian dan daripada pendesaan kepada pembandaran tentunya memerlukan “peneduh”.
Sebahagian besar masyarakat Melayu menemui peneduhnya dalam Islam.
Pada ketika itu, Islam menjadi peneduh penting dalam berhadapan dengan budaya bandar yang bukan sahaja asing tetapi turut dipenuhi oleh bukan Melayu dengan budayanya yang juga asing khususnya buat orang-orang Melayu yang baru berhijrah itu.
Dasar kebudayaan kebangsaan
Justeru, tidak menghairankan jika diteliti organisasi-organisasi masyarakat sivil yang berorientasikan Melayu-Islam tumbuh dengan cukup pesat di zaman tersebut dengan ibu pejabatnya di bandar-bandar besar.
Selain bertindak sebagai “peneduh” organisasi-organisasi masyarakat sivil tersebut juga berfungsi sebagai penyebar kepada wacana-wacana keislaman di dalam masyarakat Melayu termasuklah wacana mengenai halal.
Di tahun 1970an juga Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang menghimpunkan budayawan, sasterawan dan cendekiawan pelbagai etnik diadakan di Universiti Malaya untuk mewacanakan dan seterusnya mempersiapkan suatu kerangka dasar tentang identiti kebudayaan kebangsaan Malaysia.
Daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan inilah kemudiannya lahir Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia dengan tumpuan diberikan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini manakala Islam diletakkan sebagai unsur penting yang mencorakkan identiti kebangsaan Malaysia.
Menerusi perubahan struktural di tingkat ekonomi-budaya-sosial yang bukan sahaja pesat tetapi berlaku dengan begitu cepat lewat DEB dan wacana-wacana identiti kebumiputeraan, kemelayuan dan keislaman inilah fenomena kepemakanan halal boleh difahami perkembangannya.
Kepemakanan halal berfungsi sebagai pembeza antara “kita” dan “mereka”. Ia berperanan sebagai penanda identiti yang membezakan antara satu kumpulan kolektif manusia dengan kumpulan kolektif manusia yang lain.
Di China misalnya, kepemakanan halal berfungsi sebagai penanda identiti yang membezakan antara Cina Hui (Muslim) dan Cina Han (bukan Muslim).
Di Malaysia juga sama, ia bertindak sebagai pembeza antara Melayu dan bukan Melayu, antara Islam dan bukan Islam.
Halal itu identiti Melayu Islam
Dengan kata lain kepemakanan halal juga suatu bentuk identiti kemelayuan dan keislaman.
Bahkan buat sebahagian daripada orang Melayu mungkin ramai yang berfikiran identiti kemelayuan dan keislaman saling bertindihan dengan identiti Malaysia sepertimana kerangka Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menetapkan unsur kebumiputeraan dan Islam sebagai penting dalam mencorakkan identiti budaya Malaysia.
Maka, apabila Bak Kut Teh dicadangkan untuk menjadi salah satu makanan kebangsaan Malaysia tidak berapa lama dahulu, ia menimbulkan bantahan dan kecaman ramai orang Melayu dan Islam.
Malahan dalam konteks keislaman pula, kepemakanan halal turut menjadi penanda dan pembezaan dalam menentukan kesolehan dan keredhaan tuhan.
Ia menjadi pembeza antara Muslim yang soleh dengan yang jahil, antara Muslim yang diredhai tuhan dengan yang dibenci Tuhan.
Semua ini pada umumnya banyak terkandung di dalam wacana-wacana berkaitan halal.
Pertambahan kelas peniaga yang menyediakan makanan, kelas menengah yang punya kuasa beli, kelas birokrat yang membuat keputusan dan kelas konsumer Muslim yang berpengaruh, diiringi pula oleh wacana-wacana tentang kepatuhan dan ketaatan kepada suruhan tuhan sebagai piawaian dalam menentukan kesolehah seseorang Muslim, maka tidak hairanlah pada tahun 1974 lembaga negara mula mengeluarkan surat pengesahan halal dan seterusnya diperkukuhkan lagi sistemnya pada tahun 1994 menerusi pensijilan dan pemberian logo halal sehinggalah sekarang.
Justeru, proses melembagakan kepemakanan halal bukan hanya bersifat sepihak, yakni aturan yang ditetapkan oleh negara semata-mata tetapi ia juga melibatkan kehendak daripada masyarakat dan juga logik pasaran itu sendiri.
Pada masa sama sepertimana yang telah dijelaskan, fenomena kepemakanan halal juga suatu bentuk penzahiran identiti kumpulan untuk membezakannya dengan kumpulan yang lain.
Kontroversi yang melibatkan pensijilan halal baru-baru ini kemungkinan sebahagiannya berakar daripada keinginan untuk mencari kesolehah dan menzahirkan identiti kemelayuan serta keislaman dalam ruang gastronomi Malaysia sebagai suatu bentuk peneguhan identiti Malaysia yang difikirkan oleh ramai orang Melayu berasaskan kemelayuan dan keislaman.
RUHAN SHAHRIR seorang penyelidik akademik, juga pemerhati isu-isu semasa.
Artikel ini padangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.