Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS bukan malaikat, dakwaan Saifizi tak tepat, kata Fadhli

MUKTAMAR PAS l Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli hari ini mempertahankan kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh parti itu.

Katanya, sebahagian dakwaan yang diketengahkan oleh perwakilan Perlis Mohd Saifizi Saidon pada sesi perbahasan hari ini adalah tidak tepat dan sudah dibincangkan di peringkat PAS Pusat.

“Sudah tentu perbincangan di peringkat pusat dan keputusan dimaklumkan di peringkat negeri tetapi hanya keputusan sampai kepada PAS negeri, bukannya kandungan. 

“Saya ambil maklum apa yang dibahasakan perwakilan Perlis, tapi sebahagiannya kurang tepat kerana kita di peringkat PAS Pusat sentiasa ada perbincangan,” katanya pada sidang media pada Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mohd Saifizi menyelar kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh parti itu. 

Mohd Saifizi Saidon

Katanya, ada negeri yang menteri besarnya tidak menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri yang sepatutnya menjadi panduan kepada kerajaan. 

Malah, kata Mohd Saifizi, akhlak dan asas kepimpinan Islam yang sepatutnya dipegang telah terabai berbanding pada masa lalu apabila PAS begitu ketat mengawal selia kualiti kepimpinannya dengan sangat ketat termasuk terlibat dalam aktiviti karaoke.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Mohd Saifizi dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu karaoke.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata PAS adalah parti demokratik dan terbuka dalam menerima sebarang kritikan.

“Ini kerana kami sendiri menyatakan bahawa PAS memang tak sempurna dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi yang menguruskan setiap komponen parti PAS itu adalah manusia dan bukannya malaikat. 

“Maka, sudah tentu setiap pimpinan PAS memerlukan teguran berbeza dengan sesetengah parti yang mana jika ditegur akan dikenakan tindakan pemecatan. 

“Perkara sebegini sudah cukup membuktikan bahawa PAS bersifat terbuka dan layak untuk mentadbir negara ini,” katanya yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS