Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dakwa kerajaan Madani restui ‘penyakit’ krisis nilai
1

MUKTAMAR PAS l Perwakilan PAS Selangor Sabirin Marsono mendakwa kerajaan Madani hari ini merestui ‘penyakit’ krisis nilai yang sedang disaksikan berlaku di negara ini.

Dia antara lain menyenaraikan masalah-masalah termasuk ancaman ideologi-ideologi songsang yang didakwa sedang menjadi barah kepada rakyat dan negara.

“Hari ini kita menyaksikan ada orang Islam yang menjadi ahli, penyokong dan pendukung parti yang memperjuangkan liberalisme, sekularisme dan kesamarataan yang jelas bertentangan dengan perlembagaan.

“Pada hari ini kita melihat ada orang Melayu Islam sedang menyiarkan perancangan (untuk)menamatkan sistem beraja negara ini da mendukung usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah republik.

“Hari ini kita menyaksikan pelaksanaan undang-undang haram 3R (bangsa, agama dan istana) dikuatkuasakan kepada Melayu-Islam kerana berbicara tentang Melayunya dan agamanya,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-70 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pentadbirannya bersifat kuku besi dalam soal isu 3R.

Sebaliknya jelasnya, apa yang tak diizinkan (adalah) hasutan, ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum

Pada masa sama, Anwar menegaskan dia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan rakyat. “Ada pembangkang mengatakan kita zalim, (kata) tak boleh bicara isu 3R. Tak betul.

 “Kalau nak bicara soal agama Islam atau agama lain, nak bicara soal kaum, tak puas hati atau nak bantah, itu semua diizinkan,” katanya baru-baru ini. 

Sabirin dalam perbahasan membawa tajuk ‘punca krisis nilai’ itu turut mendakwa pelbagai lagi perkara yang tidak bertatakelola, asing dan songsang dan tidak pernah terfikir disaksikan pada hari ini.

Dakwanya lagi, krisis nilai itu berlaku apabila Islam sebagai ad-Din cuba dikuburkan secara terancang dan diganti dengan ideologi ciptaan manusia iaitu liberalisme, sekularisme, pluralisme, sosialisme bahkan juga komunisme. 

“Inilah sebahagian manifestasi tragis krisis nilai kerosakan kronik yang sedang berlaku di semua peringkat dan segenap sudut kehidupan rakyat dan negara.

“Meresapnya ideologi-ideologi ini di kalangan masyarakat yang dipromosikan secara giat dan agresif, terbuka, ditaja dan dinormalisasikan ejen-ejen liberalisme antarabangsa dan dibantu oleh pengkhianat agama dan bangsa dengan restu kerajaan Madani,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS