Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perwakilan kesal kepimpinan PAS gagal kawal selia kualiti pemimpin, MB
Diterbitkan:  Sep 14, 2024 5:47 PM
Dikemaskini: 10:45 AM
1

MUKTAMAR PAS l Perwakilan PAS Perlis, Mohd Saifizi Saidon hari ini menyelar kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh part itu.

Katanya, ada negeri yang menteri besar tidak menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri yang sepatutnya menjadi panduan kepada kerajaan.

Malah, kata Mohd Saifizi, akhlak dan asas kepimpinan Islam yang sepatutnya dipegang telah terabai berbanding pada masa lalu apabila PAS begitu ketat mengawal selia kualiti kepimpinannya dengan sangat ketat.

“Dalam sejarah PAS, tokoh seperti MP (Parit Buntar ) Hashim Gera (pada 1969 hingga 1974) digantung keahlian hanya kerana berjoget, menunjuk betapa pentingnya menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan.

“Namun pada hari ini PAS semakin jauh daripada asas tersebut.

“Terdapat pemimpin yang berkaraoke dipertahankan oleh ulama PAS. Lebih menyedihkan lagi, ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tidak dikenakan tindakan, bukan sekali tetapi berkali-kali,” katanya.

Dia berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Saifizi dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu karaoke.

Perwakilan Perlis itu juga tidak melepaskan peluang enam minit yang diberikan untuk menyelar menteri besar negerinya, Mohd Shukri Ramli.

Katanya, isu salah guna kuasa yang terpalit dengan Mohd Shukri dan anaknya telah memberi kesan buruk kepada parti tetapi tiada perbincangan diadakan berhubung siasatan SPRM tersebut.

“Sehingga kini PAS perlis tidak menerima sebarang laporan atau perbincangan tentang isu ini, sama ada di badan perhubungan Perlis atau PAS pusat.

“Di manakah kesungguhan kita dalam memperjuangkan nilai integriti dan amanah yangg dibawa Rasulullah SAW? 

“Namun ini semua semakin hilang dari PAS yang dahulunya berpegang kuat dengan prinsip amanah, kini kelihatan lemah kerana keghairahan mengejar kenikmatan dunia dan ghanimah kemenangan,” katanya.

Sehubungan itu, Saifizi berkata, PAS Perlis menyeru agar parti itu kembali kepada konsep kepimpinan ulama yang berteraskan nilai-nilai Islam.

“Adakah PAS telah sampai ke penghujung kualiti kepimpinan Islam?

“PAS Perlis menyeru agar organisasi ini dapat dipandu semula oleh kepimpinan ulama yang yakin dengan manhaj Islam.

“Bukan ulama yang terpesona dengan keindahan dunia sehingga takut untuk menyatakan kebenaran. Pandulah pemimpin-pemimpin dengan acuan Rasulullah SAW,” kata.

Menurut Saifizi lagi, harapan besar PAS Perlis agar kerajaan negeri sepenggal tidak berulang.

Pada 23 Mei lalu, anak lelaki Mohd Shukri, Syafeeq Shukri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk menyediakan minuman bagi kegunaan Raja Perlis.

Dia juga mencadangkan PASsupaya menyediakan panduan dan manual yang jelas untuk mentadbir kerajaan negeri untuk dijadikan rujukan bersama dalam mengisi fasa kemenangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS