Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR tubuh pasukan penguatkuasa pantau kempen PRK Mahkota

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semasa berkempen.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom menerusi kenyataan hari ini berkata pihaknya berharap kempen yang bermula hari ini hingga 11.59 malam 27 Sept ini berjalan dalam suasana penuh harmoni, mengikut undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Beliau berkata calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen.

Hal ini termasuk bahan yang mengandungi gambar calon, lambang, simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

"Semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R (bangsa, agama dan institusi raja) serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang yang berkaitan.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin politik komponen atau gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya," katanya.

Menerusi kenyataan sama, SPR juga mengucapkan tahniah kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid dan pasukannya serta semua pihak terlibat termasuk pasukan keselamatan, PBT, Jabatan Insolvensi dan media atas kelancaran proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pagi tadi.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61 tahun.

SPR menetapkan 28 Sept ini sebagai hari pengundian manakala hari undi awal ialah pada 24 Sept.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS