Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu liwat GISB: Kita tiada kaitan, sistem pendidikan PAS terkawal - Hadi

PAS hari ini menyangkal dakwaan media antarabangsa yang tidak dinamakan yang mengaitkannya dengan Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISB).

Menurut presiden parti itu, Abdul Hadi Awang, dakwaan berkenaan adalah berita yang tidak betul.

“Itu satu berita yang tak betul. Tak ada bukan ahli kita, tiada kaitan dengan kita. Itu perlu siasatan polis,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Pada 11 Sept lalu, polis menyerbu 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB.

Ia susulan laporan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan berkenaan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, daripada risikan dan keterangan yang diperoleh, mangsa diajar meliwat, seterusnya diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Bagaimanapun pegawai GISB kemudiannya tampil menafikan dakwaan kakitangan syarikat itu mengajar kanak-kanak untuk meliwat.

Sebaliknya, dia mendakwa ada kemungkinan kanak-kanak itu belajar sendiri berkenaan liwat.

Apabila ditanya tentang tindakan kumpulan itu yang menggunakan agama untuk menjalankan kegiatan mereka, Abdul Hadi berkata, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Kita tunggu siasatan polis. Kita kena sedar Islam itu satu benda yang benar, yang terpelihara, beberapa dibuat seperti itu fitnah terhadap Islam tetapi Islam tetap selamat sejak zaman penjajah,” katanya.

Abdul Hadi juga ditanya bagaimana PAS akan memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku di institusi pendidikan milik parti itu seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Taman Asuhan Tunas Islam (Tasti), Sekolah Rendah Integrasi Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Islam (Smiti).

“Dalam PAS kita terkawal, insya-Allah. Kita ada lajnah-lajnah jawatankuasa yang mengawal pimpinan kita sendiri.

“Pihak lain kita tak ada hubungan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS