Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS l PAS menegaskan mereka tetap meneruskan usaha untuk menarik sokongan pemimpin Umno dalam usaha menghidupkan Muafakat Nasional (MN).

Presidennya Abdul Hadi Awang mengakui pihaknya masih terbuka untuk menerima Umno.

Bagaimanapun jelasnya ia melibatkan sebahagian pemimpin sebaliknya bukan (team) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Ya, ya, ya (terbuka terima Umno). 

“(Kita) nak tarik pimpinan-pimpinan Melayu Bumiputera termasuk bukan Islam yang tak ekstrem,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-70, di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut menjelaskan perbincangan asal mengenai MN yang berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya ketika Langkah Sheraton sebelum ini.

Usaha itu katanya memberi kejayaan dan kesan walaupun kerajaan yang dibentuk Perikatan Nasional (PN) hanya bertahan selama 33 bulan.

“Yang asal kita bincang ialah penyatuan orang Melayu-Islam dan bumiputera melibatkan pemimpin Umno bukan (team) Zahid Hamidi. 

“Dia tidak terlibat, yang kita bersetuju mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam Bumiputera untuk ambil alih kerajaan bersama dengan Bersatu dan kita berjaya ambil alih. 

“Tapi oleh kerana tak teguh, tak kuat kedudukannya, itu cerita dululah.

“Tetapi ada kejayaan ada kesannya, kesannya ialah beberapa pimpinan Umno bersama dengan kita, hanya segelintir bersama mereka,” kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun dia tidak menjelaskan mengenai dakwaan beberapa pimpinan Umno yang bersama PN dan mungkin merujuk kepada dakwaan 10 wakil rakyat Umno yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) dalam kontroversi pasca PRU ke-15.

Namun, sehingga hari ini tiada seorang pun ahli Parlimen daripada Umno yang isytihar tidak menyokong kerajaan perpaduan.

Sementara itu mengulas mengenai komitmen PAS dalam PRK DUN Mahkota, Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata parti mengarahkan jentera negeri untuk turun berkempen sepenuhnya.

“Kita ada keluarkan arahan bertulis kepada PAS Johor supaya turun sepenuhnya,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS