Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jakim bentang kajian mengenai GISBH kepada kabinet, majlis raja-raja
Diterbitkan:  Sep 14, 2024 12:02 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membentangkan hasil kajian dan dapatan mengenai Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISBH) kepada Jemaah Menteri.

Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan membentangkan hasil kajian berkaitan isu akidah, syariah, dan tasawuf membabitkan GISBH kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Katanya, ia kemudiannya akan memohon perkenan Majlis Raja-Raja sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri-negeri bagi tujuan penguatkuasaan.

'Jakim konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu ini dan tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

GISBH sebelum ini dikaitkan dengan bekas anggota Al-Arqam dan didakwa masih meneruskan ajaran pertubuhan itu yang telah diharamkan dan difatwakan sesat.

Isu mengenai GISBH menjadi tumpuan selepas polis menyelamatkan ratusan kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH, dalam serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam berkata seramai 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat itu dipercayai menjadi mangsa liwat selepas 172 daripada 392 mangsa eksploitasi berkenaan melalui saringan kesihatan.

Ini katanya berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.

GISBH menafikan dakwaan berkenaan dan kaitan dengan premis yang diserbu.

Syarikat itu kini disiasat bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Tindakan dimulakan sejak 2019

Hakimah berkata, dalam konteks berkaitan GISBH, tindakan telah dimulakan pada bulan Februari 2019 dengan 12 mesyuarat, bengkel, task force dan program kenegaraan dilaksanakan yang turut melibatkan agensi keselamatan negara iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Satu pertemuan tertutup dengan pihak GISBH telah diadakan pada bulan September 2019 melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah JAKIM serta Panel Pakar Tasawuf JAKIM.

“Pertemuan ini telah membincangkan isu berkaitan GISBH melalui sesi dialog dengan cadangan penyelesaian yang bersesuaian,” katanya.

Tambahnya pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN telah diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan.

Ia disusuli dengan beberapa perbincangan pada bulan Ogos 2024, Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali ke-2 serta dialog dengan pihak GISBH pada 22 September atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan, seterusnya disusuli dengan perbincangan bersama NADI MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

"Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial E2, Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH di samping program kenegaraan kepada RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, KBS pada Oktober 2023.

"Seterusnya pada Februari 2024, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diadakan bagi mengkaji lebih mendalam isu isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH," katanya.

Jakim sebelum ini menerima kritikan berikutan dakwaan lambat bertindak terhadap isu penyelewengan akidah dan dakwaan penganiyaan terhadap kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH.

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa isu berkaitan GISBH telah dibentangkan kepada Jakim sebelum ini, namun jabatan itu tidak melakukan tindakan.

Disebabkan itu, katanya, kumpulan yang membuat kajian mengenai syarikat berkenaan membentangkannya kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS