Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kerajaan seperti teruskan agenda munafik di awal zaman Islam Madinah’

MUKTAMAR PAS l Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa pentadbiran kerajaan perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.

Jelasnya perkara itu antara cabaran dilalui pihaknya melalui sekatan ekonomi dan pentadbiran dengan cara merampas sumber negeri yang diperintah oleh PAS. 

“Antaranya seperti membatalkan royalti petroleum Terengganu dan menafikan hak negeri Kelantan, sehinggalah menghalang kemenangan melalui demokrasi yang sah dan menafikan peruntukan bagi pembangkang. 

“Semua ini seakan-akan meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah,” katanya dalam ucapan dasar Muktamar PAS ke-70 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Hadir sama barisan kepimpinan tertinggi PAS, manakala Bersatu diwakili Setiausaha agungnya, Hamzah Zainudin.

Sebelum ini Putrajaya dilaporkan merangka draf memorandum persefahaman (MOU) dengan pembangkang, bagaimanapun sehingga kini perkara itu belum berjaya direalisasikan.

Abdul Hadi turut menegaskan betapa semangat ‘federalisme ekonomi’ hendaklah dihormati dan segala bentuk sekatan yang menghalang hendaklah dipecahkan.

“Ini sumber hasil negeri dan potensi sumber manusia dapat dimanfaatkan, seterusnya kekayaan negara dinikmati bersama,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu usaha PAS membawa penyelesaian Islam dalam perkara yang paling nyata seperti bantahan terhadap pengharaman judi dan arak yang dilaksanakan. 

Malah katanya ini termasuklah segala usaha pelaksanaan syariat diganggu- gugat, kerana ada pihak yang melaksanakan agenda Islamofobia bagi menakut-nakutkan manusia terhadap Islam. 

“Pendekatan ini pernah dilakukan oleh musuh Islam pada zaman awal Islam yang menolak petunjuk Allah kerana tidak percaya atau ragu akan kebenaran dan janji Allah, walaupun pemimpin jahiliah Makkah mengetahui kebenaran rasul akhir zaman, kebijaksanaan dan akhlaknya yang mulia. 

“Justeru, menjadi kewajipan kepada umat Islam supaya mempertahankan dan memartabatkan undang- undang syariat, khususnya pengamal dan penggubal undang-undang, bukannya menghalang apatah lagi menghina,” kata Abdul Hadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS