Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS teguh pertahan PN, tidak hasrat sertai PH
Diterbitkan:  Sep 14, 2024 11:13 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

MUKTAMAR PAS l PAS akan  terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus tetapi kelengkengnya berkait.

Justeru, kata presidennya, Abdul Hadi Awang,  PAS akan tetap mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Bahkan, PAS tetap berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar.

“(Kita) dan tidak sekali-kali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua bentuk,” katanya, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, hari ini.

Kenyataan itu disambut dengan laungan takbir oleh perwakilan.

Dia seterusnya menyindir kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan beberapa rangkap pantun.

“Dari Kerdau ke Janda Baik,

terus ke Tumpat balik ke Panchor,

jaga diri baik-baik, 

jangan melompat ke bahtera bocor.

“Di Janda Baik makan ketupat, 

sambil duduk di atas papan, 

kalau salah pergi melompat, 

melompat katak jadi umpan.

“Ke Janda Baik bawa ketupat,

makan sama roti keramat, 

lompat bukan sebarang lompat, 

bahtera islam pilihan selamat.”

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata tidak ada untuk meloncat kerap kali untuk selamatkan diri asalkan pergi “ke bahtera yang selamat.”

“PAS memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin.

“Ini bagi menjamin keindukan Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air tercinta ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkenaan ada usaha untuk membawa masuk PAS ke dalam kerajaan.

Hashim berkata PAS perlu meneliti baik buruk perkara itu sebelum membuat keputusan, terutama berkaitan DAP yang merupakan anggota kerajaan.

Perlu dinyatakan yang sebelum kenyataan Hashim, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man telah menafikan parti itu sedang dalam rundingan untuk menyertai kerajaan gabungan pimpinan PH-BN.

Hashim juga kemudiannya menafikan dakwaan tersebut tetapi spekulasi mengenainya tetap berlegar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS