Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin: Islam subur bawah k'jaan perpaduan gugat naratif PAS
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang gusar dengan keupayaan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menyuburkan syiar Islam, kata bekas pemimpin parti itu Khairuddin Aman Razali.

Jelas timbalan pengerusi Majlis Ulama Umno itu, kejayaan perdana menteri akan mengancam naratif Islam terancam yang dibawa PAS.

"Presiden PAS sebenarnya semakin gusar dan bimbang dengan kejayaan kerajaan perpaduan terus menyuburkan Islam di Malaysia sebagai kesinambungan kejayaan pentadbiran terdahulu kerana ia mengancam naratif Islam terancam yang dibina oleh beliau hasil idea pemikir-pemikir strategi PAS bagi menghadapi kerajaan perpaduan.

"Justeru, tidak pelik sekali lagi beliau terpaksa mengukuhkan naratif Islam terancam di khalayak peserta Muktamar PAS dengan menggambarkan kononnya bukan Islam naik kepala kerana pemimpin lemah dengan modal terbaru ialah menunggang isu halal yang tercetus kerana ucapan (Ahli Parlimen Seputeh) Teresa Kok.

"Umum melihat bagaimana kerajaan perpaduan menerusi perdana menteri segera menegur Teresa. Pempengaruh kerajaan perpaduan juga pantas menegur. Pimpinan Pemuda Umno juga tidak ketinggalan. Pihak berkuasa juga segera menyiasat beliau atas nama 3R (kaum, agama, raja),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi mendakwa pemimpin Melayu-Islam dalam kerajaan tiada keupayaan “menyebabkan Islam tiada kehebatan.”

“Sehingga kita saksikan berlakunya isu-isu yang sangat mendukacitakan. Isu-isu orang bukan Islam berani bercakap attack Islam, berani bercakap perkara orang Islam.

“Yang mutakhir ialah isu murtad, halal dan haram,” kata Hadi ketika menyampaikan amanat sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, semalam.

Mengulas lanjut Khairuddin berkata, Islam subur di bawah kepimpinan kerajaan perpaduan dengan pelbagai program yang memberi gambaran ketegasan dalam memperkasakan Islam khusus dalam isu yang boleh disensasikan atau disalah fahamkan.

"Malaysia sangat kehadapan dalam isu halal malah timbalan perdana menteri 1 (Ahmad Zahid Hamidi) sendiri mempengerusikan jawatankuasa kabinet untuk isu persijilan halal dengan diumumkan Oktober tahun lepas permohonan sijil halal akan diproses dalam tempoh 23 hari bekerja sebagai satu pembaharuan dalam aspek teknikal.

"Islam subur dengan pelbagai lagi agenda baru pendidikan Islam seperti pratahfiz di semua lebih 10,000 tadika Kemas seluruh negara selepas kejayaan pelaksanaannya di 4,145 buah tadika Kemas melibatkan 62,172 pelajar sekarang digerakkan oleh timbalan perdana menteri 1 dengan sasaran 140 ribu huffaz cilik pada 2026," katanya, yang juga merupakan penasihat agama kepada Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS