Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Bergambar bersama tak bermaksud saya sokong mereka
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Ketua Polis Negara Razarudin Husain menolak dakwaan pihak berkuasa melindungi syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Ini susulan penularan gambar pengurusan tertinggi syarikat berkenaan bersama pegawai kanan PDRM.

Razarudin dipetik Bernama berkata dia juga pernah mengambil gambar dengan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, ketika menyertai perlumbaan kuda lasak di Terengganu.

“Saya bergambar dengan mereka tidak bermaksud saya menyokong mereka, salah tetap salah, jika siasatan kami dapati ada unsur jenayah seperti ajaran yang menyeleweng dan jenayah seksual, tindakan tetap akan diambil,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Polis mungkin panggil pengurusan tertinggi

Razarudin juga menafikan polis lewat mengambil tindakan berhubung kes berkenaan dan menjelaskan siasatan dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

“Sebarang tindakan akan melalui proses siasatan merangkumi pengumpulan maklumat daripada pelbagai sudut.

“Tindakan polis adalah secara berterusan dan masa ini kita bertindak berdasarkan keterangan dan proses yang dijalankan telah mencukupi,” jelasnya.

Razarudin turut memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan memanggil pengurusan tertinggi syarikat berkenaan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Bagaimanapun katanya pihak polis berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian, kerana siasatan membabitkan rumah amal yang melibatkan syarikat berkenaan, masih lagi di peringkat awal.

“Kita akan panggil tetapi buat masa ini masih tiada keperluan,” katanya.

Pada Rabu, PDRM melancarkan Op Global dan menyelamatkan 402 kanak-kanak daripada 20 buah rumah amal yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengulas dakwaan pihak polis tidak membenarkan mangsa yang diselamatkan menunaikan solat, Razarudin berkata kebenaran berkenaan diberikan secara bergilir atas faktor keselamatan.

“Tak benar, mereka boleh solat secara bergilir atas faktor keselamatan, dakwaan kata polis tidak benarkan solat tak betul, malah mereka yang ditempatkan sementara di Pulapol ini, ada masjid di sini,” katanya.

Kelmarin media melaporkan pihak berkuasa menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH, dalam serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Razarudin mendakwa kanak-kanak di premis berkenaan menjadi mangsa liwat selain diajar meliwat.

GISBH menafikan dakwaan berkenaan mahupun kaitan dengan premis yang diserbu.

Dalam perkembangan terbaru, Razarudin hari ini berkata seramai 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat selepas 172 daripada 392 mangsa eksploitasi berkenaan melalui saringan kesihatan.

Ini katanya berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.

Dalam perkembangan sama hari ini, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lambat bertindak terhadap isu penyelewengan akidah membabitkan GISBH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS