Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu dana Majlis Bumiputera Pulau Pinang - Guan Eng saman fitnah Afif

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mengheret bekas exco Pulau Pinang Afif Bahardin ke mahkamah atas dakwaan memfitnah.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu memfailkan saman terhadap Adun Taman Medan kerana mendakwanya tidak memperuntukkan RM20 juta kepada Majlis Bumiputera Pulau Pinang (MBPP).

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Lim mendakwa Afif membuat dakwaan tidak berasas itu ketika berucap pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 2 Mei lalu.

Plaintif mendakwa ucapan itu menggambarkan dia sebagai gagal menyalurkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan ketika menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad antara 2018 hingga 2020.

Ahli Parlimen Bagan itu menafikan kenyataan tersebut sebagai tidak benar, dengan mendakwa ia menggambarkan dirinya sebagai seorang rasis yang tidak peduli terhadap kebajikan Bumiputera di Pulau Pinang.

Pengerusi DAP itu mendakwa ahli parlimen Bersatu tersebut gagal mematuhi surat tuntutan untuk membuat permohonan maaf dan membayar pampasan.

Melalui saman fitnah tersebut, Lim menuntut pelbagai ganti rugi, antaranya ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk, dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Plaintif juga memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan fitnah tersebut.

Afif pernah menjadi exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan Pulau Pinang dari 2013 hingga 2020.

Bekas ahli PKR itu pernah berkhidmat ketika Lim dan Chow Kon Yeow menjadi ketua menteri.

Lim memfailkan writ saman itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 6 Ogos lalu.

Selepas pengurusan kes pada 5 September, mahkamah memerintahkan Afif supaya memfailkan kenyataan pembelaannya sebelum 24 September.

Mahkamah juga mengarahkan Lim untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan sebelum 8 Oktober, dan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan sebarang permohonan interlokutori sebelum 22 Oktober.

Lim diwakili oleh peguam Sankara Nair, manakala Afif diwakili oleh peguam dari firma guaman Chetan Jethwani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS