Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saranan ahli PAS kahwin demi undi tak masuk akal - Adun DAP
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Saranan Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim supaya taktik berkahwin dengan bukan Melayu digunakan untuk meraih undi bagi parti itu mendapat maklum balas ramai pihak.

Adun Kota Kemuning Preakas Sampunathan turut mengecam cadangan itu, berkata ia "tidak masuk akal, cetek dan tidak bermaruah."

Selain itu, wakil rakyat DAP itu juga menyifatkan cadangan berkenaan menunjukkan rasa tidak hormat yang melampau terhadap warga bukan Melayu di negara ini."

“Adakah ini cara PAS menghormati kepelbagaian Malaysia?

Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim.

“Dengan melihat warga bukan Melayu sebagai alat politik semata-mata, bukannya manusia yang mempunyai hak, maruah, dan aspirasi?

"Ini adalah bukti jelas bahawa PAS tidak serius atau ikhlas dalam menangani keperluan dan kebimbangan komuniti bukan Melayu. Mereka hanya melihat undi, bukan manusia,” tambahnya.

Preakas mendakwa cadangan tersebut turut menonjolkan pemikiran sempit dalam PAS yang gagal memahami asas perpaduan dan keharmonian antara kaum yang menjadi tunjang negara ini.

“PAS nampaknya lebih fokus pada taktik politik murahan dan manipulasi daripada benar-benar berkhidmat kepada rakyat.

"Cadangan perkahwinan silang budaya ini penghinaan terhadap institusi perkahwinan, yang sepatutnya berasaskan cinta, kepercayaan dan persefahaman, bukan strategi politik yang hina untuk meraih undi,” ujarnya.

Kata Preakas, dari satu segi PAS mendakwa tidak mahu mengasingkan bukan Islam tetapi dari segi lain pula tindakan dan kata-katanya menunjukkan sebaliknya.

“Ini menunjukkan bahawa PAS hanya berminat menggunakan bukan Melayu sebagai alat politik, bukan sebagai rakan kongsi setara dalam pembinaan negara.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia, terutama komuniti bukan Melayu, agar tidak terpedaya dengan taktik politik sebegini.

“Kita memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami maksud menghormati, bukan mereka yang melihat kita sebagai angka dalam permainan politik mereka.

"PAS telah menunjukkan mereka tidak layak mendapat kepercayaan kita dalam hal perpaduan kaum dan keharmonian negara," tambahnya.

Semalam, Aubidullah memberitahu Muktamar PAS bahawa ahli-ahli perlu mengahwini wanita bukan Melayu untuk mendapatkan lebih banyak undi.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi maklum balas kenyataan itu hanyalah pandangan seorang perwakilan dan tidak harus diambil serius.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS