Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan hantar senjata Israel: BDS gesa siasat, syarikat kargo nafi

(Nota editor: Laporan ini telah dipinda untuk mencerminkan secara tepat kenyataan daripada Ocean7 Projects ApS. Kesilapan dikesali.)

Gerakan pro-Palestin, Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) telah menyeru supaya siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan penghantaran bahan letupan ke Israel walaupun syarikat kargo yang dituduh itu telah menafikan penglibatan mereka.

Selepas membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut, Mohd Nazari Ismail daripada BDS Malaysia menuntut kerajaan mengambil tindakan segera terhadap syarikat kargo itu, yang beribu pejabat di Malaysia, jika didapati terlibat dalam penghantaran tersebut.

"Ini adalah satu perkara yang sangat mengejutkan macam mana ini boleh berlaku.

"Jadi kita minta polis untuk menyiasat dan juga kerajaan..kalau betul mereka ini bertanggungjawab atau menguruskan letupan letupan ini kerajaan kena mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut kerana ini adalah bertentangan dengan undang undang antarabangsa," kata Nazari memberitahu wakil media di hadapan ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, syarikat kargo Denmark, Ocean7 Projects ApS menafikan dakwaan itu.

“Kenyataan ini bagi mengesahkan United-07 Kuala Lumpur (bahagian Asia untuk syarikat itu) tiada sebarang penglibatan dengan penghantaran itu,” katanya dalam kenyataan.

Ocean7 berkata ia bukan pemilik kapal tersebut, MV Kathrin, dan hanya bertindak sebagai ejen untuk pemiliknya yang berpangkalan di Kesatuan Eropah (EU).

Berhubung pelayaran kapal itu, Ocean7 berkata MV Kathrin kini dalam satu perjalanan antarabangsa dari Asia ke destinasi terakhirnya di Lautan Adriatik, dan akan berhenti di Montenegro dan Slovenia.

“Dan kapal tidak akan berhubung dengan mana-mana pelabuhan di Israel,” katanya lagi.

Tegas syarikat itu lagi, sebagai pengendali penghantaran antarabangsa, mereka komited dalam mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan EU yang berkaitan, termasuk semua peraturan dan sekatan yang terpakai.

“Sebelum memeterai sebarang persetujuan penghantaran, kami sentiasa memastikan semua permit dan dokumen yang diperlukan telah diperolehi daripada pihak berkuasa dan pemegang taruh yang berkaitan,” katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua menggesa polis Malaysia untuk menyiasat perkara tersebut dan menentukan sama ada syarikat itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penghantaran itu atau tidak, walaupun telah dinafikannya.

"Itulah sebab laporan polis ini untuk maklumkan kepada polis dan polis wajib untuk siasat sama ada unsur unsur jenayah itu melibatkan syarikat ini," katanya.

Chua mencadangkan kerajaan boleh mengambil pelbagai tindakan, daripada mengeluarkan amaran sehinggalah mengenakan denda, jika syarikat itu gagal membatalkan penghantaran tersebut dan menyatakan tindakan ini selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, BDS merujuk penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari 2024, dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, yang memutuskan Israel secara munasabah didakwa melakukan genosid.

BDS menyatakan ICJ dalam keputusan yang sama juga memerintahkan langkah sementara terhadap Israel untuk menghalang genosid di Gaza, yang bermaksud sesebuah negara boleh bertanggungjawab secara sah jika gagal mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah dan menghentikan genosid.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS