Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Toksah jawab soalan racun kahwini bukan Melayu, kata Sanusi

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Mohd Nor secara berseloroh mengarahkan ketua muslimat parti itu supaya tidak menjawab soalan “racun” berhubung cadangan seorang perwakilan Pemuda yang menyarankan supaya perkahwinan rentas kaum ataupun rentas budaya digalakan dengan wanita bukan Melayu. 

Sebaliknya, dia yang juga menteri besar Kedah berkata, mereka yang ingin mendirikan rumah tangga supaya ikhlas kerana Allah dan bukan disebabkan perkara lain.

“Awat (mengapa) pi fokus kahwin ja ni. Cerita lain banyak lagi dunia ni.

“Toksah (tak payah) jawablah. Depa (mereka) ni racun kita.

“Provokasi untuk panjangkan cerita semalam,” katanya kepada Nuridah Mohd Salleh semasa sidang media selepas merasmikan Muktamar Muslimat PAS ke-64 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Pada perbahasan semalam, Setiausaha Pemuda PAS Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, taktik berkahwin dengan bukan Melayu boleh memenangi parti itu bukan saja berpuluh, malah ratusan undi. 

Justeru katanya, kepimpinan Pemuda PAS perlu berkahwin rentas kaum ataupun rentas budaya. 

Sebelum soalan itu diajukan kepada Nuridah, soalan yang sama ditujukan kepada Sanusi yang minggu lalu mengesahkan dia sudah berpoligami. 

“Berani ke? Kahwin dengan orang bukan Islam tak boleh, kena jadi Islam dulu. Kaum lain boleh. 

“Salah satu cara la (untuk tambahkan penyokong PAS), boleh teroka la. Saja buat bagi riuhlah tu,” katanya disusuli gelak-ketawa.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata perkahwinan adalah kerana Allah dan bukan kerana hendak mendapatkan undi. 

“Nikah kahwin ini kerana Lillahi ta’ala (kerana Allah).

“Kahwin kerana undi tak sah, mungkin ucapan perwakilan sahaja bagi riuh (perbahasan Muktamar Pemuda PAS), katanya.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden turut berkata cadangan Aubidullah itu hanya pandangan perwakilan yang tidak perlu diambil serius.

Tak sedia jadi calon PM

Mengulas tentang cadangan perwakilan Pemuda PAS, yang menyebut dirinya sebagai calon perdana menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) menawan Putrajaya pada PRU-16 nanti, Sanusi mengaku bahawa dirinya tidak bersedia. 

“Tak saya tak sedia. Carilah orang lain. Saya ini orang parti, saya tak target untuk diri sendiri. Parti yang susun saya. 

“Parti suruh duduk cawangan saya duduk cawangan. Tak ada cita-cita peribadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, bukan sahaja tidak bercita-cita menjadi calon perdana menteri, malah sebelum ini dia juga tidak pernah menyangkakan dirinya akan menjadi calon pilihan raya.

Malah, katanya dia tidak akan mengangkat dirinya dan tidak sesekali akan mengejar jawatan, sebaliknya fokus kepada tugas diberikan termasuk menjaga pentadbiran di Kedah.

“Saya tak ada cita-cita nak jadi apa-apa dalam hirarki kepimpinan. Parti yang akan tentukan saya, daripada mesyuarat, daripada orang ramai.

“Bukan saya jolok diri saya sendiri macam pemimpin lain dalam Umno. Masing-masing nak jadi ketua, mula tunjuk kaya, taja orang itu ini bela perwakilan, rosak politik macam itu. Bagi orang ramai tentukan hang layak atau tidak layak

“Jangan beli (undi atau jawatan) jangan guna duit beli. Jangan bina pengaruh dengan kepalsuan Rosak negara ini,” katanya lagi.

Selain sebagai pengarah pilihan raya PAS dan ahli jawatankuasa PAS pusat, Sanusi yang juga menteri besar Kedah diberi penghormatan merasmikan Muktamar Muslimat PAS yang lazimnya dilakukan oleh pemimpin kanan parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS