Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perkahwinan adalah ikatan suci, bukan alat politik'
Diterbitkan:  Sep 12, 2024 10:17 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

Beberapa pemimpin parti kerajaan mengecam saranan yang diutarakan ketika Muktamar Pemuda PAS hari ini agar perkahwinan rentas budaya dijadikan kaedah untuk parti itu meraih sokongan orang Bukan Melayu.

Antaranya Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang membangkitkan kesucian perkahwinan.

“Dalam Islam, perkahwinan adalah penyatuan suci di depan Allah dan tidak patut digunakan sebagai alat untuk keuntungan politik dan nafsu untuk kuasa,” ciapnya di X.

Ketua Pemuda DAP Kelvin Yii pula menyifatkan cadangan itu sebagai menjijikkan.

“(Mereka) tiada masalah untuk mencemarkan institusi perkahwinan demi politik dan merendahkan wanita hanya sebagai objek yang boleh didagangkan dan untuk cita-cita politik mereka sendiri.

“Pemimpin PAS boleh mengkritik cadangan ini tetapi tidak berbuat demikian. Buat permohonan maaf,” ciapnya di X.

Hari ini, Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim menyarankan agar pemimpin sayap itu untuk berkahwin dengan wanita bukan Melayu untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu.

Aubidullah Fahim Ibrahim

"Kita nak cadangkan supaya kepimpinan Pemuda ini perlu berkahwin rentas kaum ataupun rentas budaya. 

“Kerana apa? Kerana apabila kita berkahwin merentas kaum ataupun budaya ini, kita bukan sekadar boleh menangkap satu undi, tapi insya-Allah kita akan menangkap 10 bahkan ratusan undi daripada bukan Melayu dan bukan Islam," katanya di Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Diminta mengulas cadangan itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata ia merupakan pandangan Aubidullah dan tidak semestinya dijadikan keputusan sayap itu.

Dia juga menganggap cubaan media untuk mendapatkan ulasannya mengenai cadangan itu  sebagai “soalan perangkap”, sambil menambah isterinya sedang mengikuti muktamar secara dalam talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS