Paling Popular
Terkini

Pemuda PAS hari ini mencabar Umno meninggalkan kerajaan perpaduan dengan berkata mereka perlu berbuat demikian jika parti itu serius mempertahankan kesucian agama Islam.

Menurut ketua sayap parti itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Umno tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya sebagai ahli gabungan pemerintah, terutama daripada DAP.

"Saya tak nampak pemimpin Umno dalam kerajaan hari ini boleh mempertahankan Islam, kerana kalau dia boleh pertahankan Islam, kenapa DAP berani begitu lantang bersuara begitu sekali?

"Contohnya kenyataan (Ahli Parlimen Seputeh) Teresa Kok dipertahan oleh Anthony Loke, ini maknanya DAP tak hirau pun suara pemimpin Umno kalau mereka bersuara dalam kerajaan.

"Buat apa lagi duduk dalam kerajaan kalau orang tak hirau suara kita tak dengar cakap kita? Tak hormat pandangan kita keluarlah kerajaan, lebih baik pertahan prinsip daripada pertahan undi," katanya pada sidang media selepas muktamar tahunan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang petang ini.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya di muktamar, Afnan membidas pemimpin Islam dalam Umno, PKR dan Amanah - tiga daripada parti politik yang membentuk kerajaan pusat perpaduan - kerana didakwa meninggalkan prinsip mereka untuk terus berkuasa.

Dia berkata Pemuda PAS dalam mesyuaratnya hari ini meluluskan resolusi untuk mengecam apa yang disifatkan campur tangan DAP dalam hal ehwal Islam, sesuatu yang didakwanya tidak akan dapat dicapai oleh ketiga-tiga parti itu.

Menurut Afnan, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, pemimpin Islam parti-parti dalam kerajaan perpaduan itu tidak mempunyai keberanian untuk bersuara menentang DAP kerana menurutnya mengutamakan kepentingan peribadi mereka daripada Islam.

“...Kalau betul kerajaan ada hari ini nak mempertahankan islam, kalau betul Umno khususnya parti Melayu nak pertahankan Islam, dengan apa DAP buat hari ini, kita cabar Umno hari ini tinggalkan kerajaan perpaduan, keluar dari kerajaan.

"Kalau betul nak pertahan Islam, pertahan Melayu, kamu kena keluar kerajaan, kamu tak perlu bimbang kamu hilang kuasa, kecuali kalau kamu bimbang 47 kes kamu akan dibuka semula," katanya, dipercayai merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menghadapi 47 pertuduhan jenayah berkaitan rasuah.

Ditanya sama ada PAS bersedia menerima Umno semula sebagai sekutu sekiranya PAS memutuskan untuk meninggalkan kerajaan, Afnan mengesahkannya.

Dia berkata hubungan antara PAS dan ahli Umno khususnya di peringkat akar umbi tidak pernah mati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS