Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes GISBH: 171 suspek direman seminggu
Diterbitkan:  Sep 12, 2024 5:12 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Kesemua 171 suspek yang ditahan dalam serbuan di rumah kebajikan di seluruh Negeri Sembilan dan Selangor kerana didakwa mengeksploitasi 402 kanak-kanak direman tujuh hari, kata Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain.

Razarudin turut berkata kesemua 20 premis yang diserbu ditutup sementara.

Premis itu dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), namun syarikat berkenaan menafikan perkara itu.

"Kita tahu bahawa yang berumur yang sepatutnya bersekolah ini, tapi tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri, kita mungkin akan berhubung dengan kementerian pendidikan juga.

"Apabila dia buka rumah amal ini, kononnya untuk anak yatim, kita juga nak melihat adakah rumah amal ini didaftarkan, itu semua siasatan kitalah, daripada situ juga mungkin ada kesalahan-kesalahan lain yang kita boleh lihat lagi, akan ada saksi-saksi yang akan tampil,” katanya kepada media.

Semalam, dilaporkan 20 premis yang dikaitkan dengan GISBH diserbu polis dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dari rumah kebajikan yang didakwa mengajar mereka meliwat sesama sendiri.

Serbuan itu dibuat berikutan laporan polis pada 2 Sept mengenai dakwaan pembuangan kanak-kanak, serangan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak di rumah itu.

Bagaimanapun, GISBH menafikan tuduhan itu dan mendakwa ia tidak mengendalikan premis tersebut.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata polis percaya kanak-kanak yang diselamatkan itu adalah anak anggota GISBH dan mereka kini sedang menjalani pemeriksaan dokumentasi dan kesihatan.

Semalam, Razarudin berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS