Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jais pantau rapat aktiviti GISBH
Diterbitkan:  Sep 12, 2024 4:17 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantau rapat aktiviti Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), berikutan dakwaan kumpulan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat Al-Arqam yang sudah diharamkan.

Pengarah Jais Shahzihan Ahmad berkata Jais telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial oleh Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) mengenai aktiviti kumpulan itu, untuk mengukuhkan siasatannya terhadap kumpulan itu, dan untuk merekodkan kenyataan daripada individu terbabit.

“Hasil daripada serbuan pihak polis ke atas 18 buah premis pada 11 Sept 2024, pihak Jais telah berbincang dengan pihak polis supaya barang-barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH diserahkan kepada pihak Jais untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dijalankan.

"Dua daripada premis-premis yang diserbu tersebut adalah Sekolah Rendah Islam yang berdaftar dengan Jais," kata Shahzihan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan ke atas salah sebuah sekolah iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 mendapati tiada penyelewengan dalam silibus pengajaran yang disediakan Jais.

Sekolah satu lagi, Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly menggunakan sukatan pelajaran tahfiz sendiri.

“Untuk makluman, sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan Jais. Dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi telah tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga 2028," kata Shahzihan.

Katanya, tindakan berkaitan akan diambil terhadap sekolah yang terlibat di bawah undang-undang Islam Selangor.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menyerbu 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan, dipercayai dikendalikan kumpulan itu, dan menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan dan 17 tahun.

Seramai 171 orang telah ditangkap dalam serbuan itu, yang dibuat berikutan laporan polis pada 2 Sept lepas mendakwa pembuangan kanak-kanak, serangan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak di rumah kebajikan itu.

Razarudin mendakwa penjaga di rumah itu meliwat kanak-kanak berkenaan serta melatih mereka melakukan perbuatan itu antara satu sama lain, dan juga membuat mereka melihat kanak-kanak lain melakukan perbuatan itu.

Kumpulan itu disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS