Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu melahirkan kebimbangan berhubung penguasaan pekerja dalam sektor pertanian di Malaysia ketika ini yang menurutnya dimonopoli tenaga kerja warga asing.
Bercakap di Konvensyen Usahawan Agro Madani 2024 hari ini Mohamad berkata negara ini bukan sahaja berdepan isu “Ali Baba” dalam perniagaan, tetapi fenomena “Ali Bangla”.
“Kita tak mahu (kisah) lama berulang, kalau tahun 60an, 70an dan 80an dan 90an, Ali… Ali ini di kalangan bumiputera yang memilik lesen dan mendapat peluang (perniagaan), menjadi pengerusi dan sebagainya tetapi yang menjalankan kerja Baba. Baba ini biasanya dari kalangan Tiong Hua.
“Tahun 2000 ke atas Ali tidak berubah tetap Ali yang mendapat peluang, mendapat lesen, menjadi pengerusi, tetapi yang menjalankan kerjanya Bangla (warga Bangladesh).
“Jadi, ‘Ali Baba’ berubah kepada ‘Ali Bangla’. Ini yang saya sebut semasa promosi MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia) kali ini,” katanya ketika berucap di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor, hari ini.
Istilah ‘Ali Baba’ merujuk kepada amalan menjual projek atau lesen perniagaan yang diperoleh untuk diusahakan pihak lain.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata dia juga mendapati perusahaan dalam kalangan bumiputera sering kali dilaporkan gagal.
Namun, katanya, ia berbeza dengan perusahaan yang mengambil pendekatan ‘Ali Baba’, atau perniagaan yang menggunakan lesen orang lain.
“Kita lihat sekarang ini bila kita tanam sayur, bela ikan dilaporkan rugi. Tetapi bila Bangla yang buat, untung.
“Kenapa? Di mana silapnya? Bincanglah dalam konvensyen ini, dimana berlaku dari kealpaan kita yang menyebabkan keadaan jadi begini,” katanya.
Menurut Mohamad keadaan di pasar-pasar awam juga membimbangkan.
“Kita lihat sekarang keadaan di pasar borong, pasar-pasar besar dikuasai oleh pendatang asing, sama ada secara sah atau haram.
“Ini perkara yang perlu dilihat secara serius keadaan ini supaya kalau kita dapat satu peluang, Ali mendapat peluang, Alilah yang mengusahakan perniagaan itu dan Alilah yang berjaya,”katanya.
Perlu bersabar
Mohamad berkata dia mahu golongan bumiputera tidak mensia-siakan peluang perniagaan yang diperoleh khususnya dalam sektor pertanian.
“(Penanaman) Durian ini contohnya dah lama diusahakan oleh orang Melayu tapi ditanam dalam bentuk yang kecil dan sedikit nak (kerana) tunggu anak cucu balik kampung untuk makan durian.
“Tapi durian sekarang sudah jadi satu industri yang begitu besar dan diramalkan lima hingga enam tahun lagi dijangka memperolehi pendapatan sekitar RM6 bilion dari perniagaan durian ini.
“Lagi kita ketinggalan walaupun orang Melayu yang memulakan tanaman berikut terutama di Bukit Gantang, Perak, Baling Kedah, Johor dan sebagainya,” katanya.
Tambah Mohamad, pengusaha bumiputera perlu bersabar untuk memperoleh laba daripada hasil usaha mereka.
“Jadi, tumpu betul-betul dalam tempoh lima ke enam tahun lagi, susah sikitlah sebab kerja sendiri ini dia punya ROI (pulangan pelaburan) itu lambat tapi selepas dapat hasil dia akan stabil.
“Begitu juga tanaman yang lain sama ada cili dan sebagainya mengambil masa dari segi penyediaa tempat mungkin lima ke enam bulan baru dapat hasil cuma kerja-kerja yang dapat hasil segera ini memang disukai anak muda kita tapi tak apalah teruskan.
“Cuma, pertanian ini satu perniagaan besar sekarang dan juga pada masa yang akan datang,” katanya.
Terdahulu dilaporkan hampir 40 peratus pekerja dalam sektor pertanian di Malaysia ketika ini dimonopoli tenaga kerja warga asing berikutan golongan muda tidak berminat mengusahakan bidang berkenaan.
Peratusan tersebut direkodkan pada tahun 2023 dan jika trend tersebut berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sektor itu dijangka dikuasai sepenuhnya oleh tenaga kerja warga asing.
Ketika ini, golongan yang terlibat dalam sektor pertanian di negara ini adalah tenaga kerja yang 70 peratus melibatkan petani berusia lebih 60 tahun.
Golongan muda yang terlibat dalam sektor itu pula tidak sampai lima peratus daripada jumlah keseluruhan individu di bawah usia belia.
Bagi sektor penternakan, sekitar 15 peratus sahaja usahawan golongan muda khususnya yang terlibat dalam penternakan ayam, lembu, dan kambing.
Dalam sektor perikanan pula khususnya melibatkan nelayan sekitar 10 peratus sahaja golongan muda terlibat dengan bidang itu.