Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib masih dirawat di hospital akibat sakit lutut, apnea tidur

Bekas perdana menteri, Najib Razak masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami sakit lutut di bahagian kanan dan juga apnea tidur.

Berikutan itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengosongkan tarikh perbicaraan penuh yang dijadualkan hari ini dan esok bagi kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas presiden Umno itu.

Perbicaraan yang dijadualkan semalam dan kelmarin juga dikosongkan selepas Najib dimasukkan ke wad akibat sakit lutut.

Bercakap di hadapan hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, Perunding kanan ortopedik hospital kerajaan, Dr Siti Hawa Tahir menjelaskan Najib masih dalam cuti sakit.

Menurutnya, Najib yang berusia 71 tahun masih menggunakan opioid, yang menyebabkan dia mengantuk dan tidak cergas untuk menghadiri perbicaraan minggu ini.

“Dia (Najib) masih mengalami radang lutut berdasarkan penilaian kami. Dia memerlukan rehat dua hari untuk merehatkan sendi.

"Opioid mempunyai kesan sampingan iaitu mengantuk dan loya," kata Siti.

Siti Hawa juga memberitahu bahawa doktor di HKL perlu memantau Najib yang menggunakan opioid kerana kebimbangan terhadap apnea tidurnya, yang melibatkan masalah pernafasan semasa tidur.

Ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya berkata ketika melawat Najib di HKL semalam, bekas menteri kewangan itu tertidur selepas membaca dua muka surat buku.

Peguam itu berkata keadaan berbeza dengan Najib yang biasanya sentiasa memberi perhatian.

Perbicaraan akan disambung Selasa minggu depan.

Berdepan 25 pertuduhan

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan merangkumi salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Berhubung 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pada 30 Mei tahun ini, pihak pendakwaan menutup kesnya, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada akhir 2018.

Prosiding itu kini berada di peringkat penghujahan lisan, yang tidak melibatkan keterangan saksi, hanya pasukan undang-undang yang memberi rumusan berdasarkan bukti lisan dan dokumen yang telah dibentangkan.

Lima puluh saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa antara individu yang rapat dengan watak utama dalam kes 1MDB Low Taek Jho (Jho Low). Pihak berkuasa masih menjejaki Low sehingga kini.

Pendakwa raya mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada dana kekayaan negara yang bermasalah antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku dalam 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku adalah didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana itu.

Bekas menteri kewangan itu juga sebelum ini berhujah bahawa Allahyarham Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS